suria

Formula Jangka Panjang Untuk Kesinambungan Usahawan Bumiputera - PM

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan usahawan bumiputera bagi menghasilkan formula jangka panjang yang terbaik untuk meningkatkan kesinambungan usahawan berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan akan terus memberi fokus terhadap Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera sebagai agenda nasional melalui perlaksanaan pelbagai program oleh kerajaan.

Fokus tersebut bagi melahirkan usahawan yang boleh bersaing di pasaran terbuka dan global, kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian pada majlis Makan Malam Perdana 2015 Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) bersempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-22 dan Pelancaran Koperasi PPIPBM Rabu.

Najib berkata pelaksanaan agenda itu yang bersandarkan kepada lima teras utama sedikit sebanyak telah mula menghasilkan kejayaan.

Beliau berkata salah satu cabang penting dalam mengukuhkan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ialah pembangunan vendor bumiputera yang terbukti telah melahirkan ramai usahawan bumiputera.

"Pelbagai langkah akan terus diambil kerajaan dan saya sendiri akan kemudikan jentera untuk mencapai objektif ini melalui Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang bersidang setiap dua bulan.

"Cabaran kita adalah untuk memastikan tempoh syarikat yang diletakkan di bawah program ini, menjadikannya mantap dan seterusnya melepaskan syarikat tersebut untuk bersaing di peringkat antarabangsa," kata Najib.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia Datuk Noraini Ahmad.

Najib berkata perusahaan kecil dan sederhana disasarkan menyumbang sebanyak 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara menjelang 2020.

Artikel Lain