suria

TNB Diminta Segera Bekalkan Elektrik Di Projek Fasa Dua Zoo Kemaman

KEMAMAN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) diminta menyegerakan kerja-kerja pembekalan elektrik di kawasan projek pembangunan fasa dua Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kijal Datuk Seri Ahmad Said berkata pihaknya sangat kecewa dengan kelewatan pembekalan elektrik di zoo berkenaan sedangkan bayaran telah dibuat sejak Mac lepas.

"Pihak Majlis Perbandaran Kemaman dah buat bayaran sejak bulan Mac lagi kepada TNB, tetapi sampai sekarang TNB masih belum bekalkan eletrik di sini. Tadi saya telefon, dia orang cakap bulan 10, saya cakaplah, takkan tak boleh cepat...kalau kerajaan nak dapatkan bekalan elektrik makan masa lima bulan walaupun dah bayar, orang kampung tak tahulah macam mana. Ini kelemahan TNB dan saya memang cukup tak puas hati," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan kerja-kerja pembinaan fasa dua zoo bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee pada Ahad.

"Kita nak buka zoo fasa dua ini kepada orang ramai awal tahun depan dan kita harap ianya akan dapat berjalan lancar," katanya.

Dalam pada itu Ahmad berkata setelah siap zoo fasa dua berkenaan, beliau berharap jumlah pengunjung akan bertambah dari semasa ke semasa selari dengan kemudahan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

"Dengan adanya LPT2 ini kita harap pengunjung dari Pantai Barat akan singgah ke sini, tetapi saya dapati sekarang ini hanya ada satu sahaja papan tanda arah menunjukkan jalan ke zoo iaitu di Persimpangan Air Putih.

"Kita harap akan dapat berbincang dengan pihak lebuhraya supaya dapatditambah arah ke zoo ini di persimpangan Kijal," katanya.

Artikel Lain