suria

Pengawal Keselamatan Prasarana Tahan Suspek Kes Gangguan Seksual

KUALA LUMPUR: Unit Keselamatan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah menahan seorang lelaki muda yang disyaki suspek kes gangguan seksual di stesen LRT Masjid Jamek di sini minggu lepas.

Ketua Unit Keselamatan Prasarana, Zainal Rashid Adnan berkata suspek berumur pertengahan 20-an itu dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen LRT itu dan pemantauan Pusat Kawalan Operasi di Subang, ditahan pada Rabu di Stesen LRT KL Sentral.

"Pada 22 Julai, pasukan kami ternampak suspek di Stesen KL Sentral pada 9.09 pagi di mesin tiket kami dan dia telah ditahan dan diserahkan kepada pihak berkuasa di Balai Polis Jalan Travers untuk tindakan lanjut.

"Kami mula mengesan suspek sebaik sahaja seorang mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Tun H.S Lee selepas kejadian pada 15 Julai," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Dalam laporannya, pegawai bank itu mendakwa suspek telah meramas buah dada kanannya semasa dia berada di stesen LRT Masjid Jamek pada waktu malam Rabu lepas.

Suspek lari dan meloloskan diri selepas wanita itu menjerit.

Zainal berkata Prasarana memandang serius kejadian itu dan perlakuan jenayah lain dan berharap ia menjadi peringatan kepada semua untuk tidak berkelakuan tidak senonoh di dalam tren, bas dan di stesen.

Beliau menasihati pengguna perkhidmatan syarikat itu supaya sentiasa berwaspada pada setiap masa ketika mereka berada di tempat awam, dan terdapat CCTV bagi memantau keadaan di semua fasiliti, dalam tren dan bas.

"Saya juga ingin menasihatkan pengguna perkhidmatan kami supaya mendapatkan bantuan daripada anggota keselamatan kami sekiranya berdepan perbuatan atau kelakuan tidak sopan dan salah di sisi undang-undang dan memaklumkan kepada kami sebarang kejadian atau individu mencurigakan di premis-premis kami.

"Malah jika anda perlukan bantuan anggota keselamatan kami untuk mengiringi anda ke tempat letak kenderaan pada waktu malam, kami akan membantu anda sebaik mungkin. Sila dapatkan bantuan daripada kakitangan kaunter dan anggota keselamatan kami pada bila-bila masa," katanya.-- Bernama


Artikel Berikut

Artikel Lain