suria

Rafizi Dakwa Turut Disekat Ke Luar Negara

Rafizi Ramli.

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa beliau turut disenaraihitamkan daripada dibenarkan ke luar negara sebagaimana yang dialami Ahli Parlimen DAP, Tony Pua pada Rabu.

"Saya baru dimaklumkan bahawa Tony Pua telah dihalang dari meninggalkan negara atas penglibatan beliau mendedahkan kes 1MDB (1Malaysia Development Behad).

"Ekoran itu, saya telah menyemak status saya di laman web Jabatan Imigresen Malaysia dan mendapati status senarai hitam saya adalah sama seperti status Tony Pua.

"Oleh yang demikian, saya mengesyaki saya juga telah disenarai hitamkan dan tidak dibenarkan keluar dari Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada petang Rabu.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mendakwa, berdasarkan perkembangan sejak beberapa minggu lepas, beliau turut mengesyaki bahawa beliau dan Pua akan dipanggil oleh pihak polis dalam masa terdekat dan berkemungkinan akan ditahan berdasarkan fitnah yang disebarkan melalui video oleh bekas pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi.

"Daripada hari pertama perkara ini disebarkan, saya telah menyatakan bahawa tuduhan itu adalah sebahagian dari konspirasi jahat untuk menutup mulut kami (saya, Pua, Sarawak Report dan The Edge) oleh kerana kelantangan kami membawa isu 1MDB sejak beberapa tahun yang lepas," katanya.

Pada Rabu, menurut lidah rasmi DAP, Roketkini, Pua yang merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dilarang meninggalkan negara ini semasa mahu berkunjung ke Yogyakarta, Indonesia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada tengah hari Rabu.

Rafizi Ramli, Tony Pua

Artikel Lain