suria

Jangan Lari Daripada Tanggungjawab - PTPTN

KUALA LUMPUR: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diingatkan supaya tidak lari daripada tanggungjawab melunaskan pinjaman pendidikan demi kelangsungan generasi seterusnya.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata peminjam yang menghadapi masalah bayaran balik pinjaman seharusnya bertemu wakil PTPTN untuk rundingan, bagi menguruskan penstrukturan semula jadual pembayaran.

"PTPTN telah mengesan peminjam-peminjam seperti penjawat awam dan memasukkan senarai peminjam ke dalam Maklumat Rujukan Pelanggan (CRIS).

"Kita nak mereka sedar bahawa ada tanggungjawab untuk membayar balik pinjaman PTPTN bagi memastikan tabung ini ada dana untuk membiayai pelajar lain pada masa depan," katanya dalam satu temu bual dengan Bernama di sini.

Sehingga 31 Mei tahun ini, lebih daripada 100,000 peminjam telah disaman PTPTN kerana gagal menjelaskan bayaran balik manakala seramai 136,909 peminjam disenarai hitam dalam tempoh tersebut atas sebab sama. Daripada jumlah itu, 52,027 peminjam dibatalkan daripada senarai hitam.

Beliau berkata tindakan saman hanya dikeluarkan selepas Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti menghantar surat arahan bayaran, notis pertama, kedua, ketiga dan notis peringatan terakhir tidak mendapat sebarang maklum balas daripada peminjam.

"Ada yang kita saman dan kemudian ditarik balik. Ia tertakluk kepada komitmen, tunggakan, sikap, pendapatan dan tanggungan peminjam. Apa yang penting ialah berikan kita maklumat dan jangan lari daripada kita," katanya.

Mengulas kewajaran PTPTN menyenaraikan nama peminjam yang ingkar arahan bayaran balik pinjaman dalam Sistem Maklumat Rujukan Pelanggan (CRIS), Mastura berkata ia langkah terbaik bagi memastikan peminjam terus melaksanakan tanggungjawab mereka dengan konsisten.

Katanya, PTPTN mengkaji cadangan berkenaan beberapa tahun sebelum dipersetujui Jemaah Menteri pada Oktober 2014.

Mastura berkata menerusi perlaksanaan CRIS, peminjam diharap akan berasa gerun memandangkan ia akan memberi implikasi besar kepada mereka dalam urusan pinjaman-pinjaman untuk pembelian kereta, rumah dan juga pinjaman peribadi daripada bank.

"Kita dah umumkan pada November 2014 bahawa mulai 2015 nama peminjam tegar akan dimasukkan ke dalam CRIS. Tempoh yang diberikan sudah cukup bagi peminjam tegar berjumpa wakil PTPTN untuk rundingan pembayaran balik," katanya.

Menurut Mastura, kadar kutipan balik PTPTN agak rendah iaitu sekitar 46 peratus.

"Kita hanya berjaya kutip RM6 bilion daripada RM13 bilion yang sepatutnya dikutip. Kita memerlukan RM5 bilion setiap tahun untuk membiayai pendidikan pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

"PTPTN ditubuhkan untuk memastikan tiada pelajar yang layak melanjutkan pelajaran tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana masalah kewangan," katanya.

Bagi meningkatkan kadar kutipan bayaran balik daripada peminjam, PTPTN kini membuka kaunter di tempat-tempat tumpuan awam seperti di Pasaraya Giant, Tesco, Aeon Big dan Terminal Bersepadu Tasik Selatan (TBS).

"Sekarang ini tidak susah lagi untuk berjumpa dengan PTPTN kerana kita telah buka 60 cawangan di seluruh negara dan ada cawangan di UTC (Pusat Transformasi Bandar) yang dibuka sehingga 10 malam serta Sabtu dan Ahad," katanya.-- Bernama

PTPTN, Mastura Mohd Khalid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain