suria

Bapa Kandung, Ibu Tiri Dera Anak Didakwa

PASIR MAS: Bapa kandung dan ibu tiri kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, pada Ahad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mendera kanak-kanak itu di Kampung Bagus, Rantau Panjang dekat sini.

Ibu tiri kanak-kanak itu Rahayu Hassan, 23, sebagai orang yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak tersebut didakwa menganiaya kanak-kanak itu dengan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah rumah di kampung berkenaan antara Januari dan Mei lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dia yang berpakaian lokap berwarna oren dan bertudung hitam, menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan parah kepada kanak-kanak tersebut pada tarikh dan tempat yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bapa mangsa, Zulkifli Che Othman, 39, sebagai orang yang bertanggungjawab untuk menjaga anaknya itu pula didakwa mengabaikan tanggungjawab itu dengan menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan fizikal dan emosi pada tarikh dan tempat yang sama, iaitu antara Januari dan Mei lalu di sebuah rumah di Kampung Bagus, Rantau Panjang.

Tertuduh yang turut berpakaian lokap berwarna oren, didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 yang sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Dazuki Ali membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Kedua-dua tertuduh juga diperintahkan melapor diri di Balai Polis Rantau Panjang dari 1 hingga 5 haribulan setiap bulan sehingga kes berkenaan selesai.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohamad Ridzuan.

Mahkamah menetapkan 16 Ogos ini bagi sebutan semula kes itu.

Kanak-kanak itu dilaporkan ditemui ibu kandungnya pada 24 Jun lepas dalam keadaan wajahnya cengkung dan seluruh badannya lebam serta dipenuhi parut manakala tubuhnya membongkok dipercayai akibat patah tulang belakang dan rusuk.

Pada hari yang sama, kanak-kanak itu dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan, dan berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dera Kanak-Kanak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain