suria

Malaysia Tekad Terus Buru Pihak Bertanggungjawab Tembak Jatuh MH17

Isteri kepada pembantu juruterbang pesawat MH17, Ahmad Hakimi Hanapi, Sharifah Asma'a Syed Alwi Al Juneid bersama anak mereka Abderrahman semasa upacara memperingati ulang tahun pertama tragedi pesawat itu di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada Sabtu. - fotoBERNAMA

SEPANG: Malaysia bertekad untuk terus menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas untuk mencari mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 bagi menegakkan kebenaran, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau juga menyeru semua negara mematuhi protokol berhubung proses membuat laporan bagi memastikan tidak wujud halangan dalam mencari kebenaran untuk para waris mangsa tragedi itu.

"Walaupun usaha mencari kebenaran bukanlah mudah, Malaysia tetap komited mencari jawapannya.

"Kepada para waris, saya ingin menyatakan sekali lagi bahawa mereka tidak keseorangan dalam mencari jawapan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis memperingati ulang tahun pertama tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya KLIA di sini Sabtu.

Pada 17 Julai tahun lepas, Penerbangan MH17, yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh ketika terbang di ruang udara Ukraine, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapalnya, termasuk 43 rakyat Malaysia.

Liow berkata suatu perkembangan yang menggalakkan ialah apabila Lembaga Keselamatan Belanda (DSB), yang mengetuai penyiasatan teknikal berhubung tragedi itu, memberi kepada semua negara terlibat draf laporan akhir tentang siasatan itu.

"Kami (Malaysia) telah menubuhkan sebuah pasukan untuk menyemak laporan teknikal ini dan DSB dijangka mengeluarkan laporan rasmi Oktober tahun ini.

"Malaysia juga adalah sebahagian daripada Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) itu dan tekad kami ialah untuk terus menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas untuk menghukum mereka yang bertanggungjawab menyebabkan berlakunya tragedi itu," kata beliau.

Sehubungan itu, kata Liow , Malaysia mendesak agar satu tribunal antarabangsa ditubuhkan di bawah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) bagi menegakkan keadilan.

"Kami berada di landasan betul apabila baru-baru ini, Malaysia mengemukakan satu draf resolusi kepada UNSC tentang penubuhan tribunal itu, suatu langkah yang mendapat sokongan penuh daripada Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine," kata Liow.

Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada majlis 15 anggota itu, mengedarkan draf resolusi berkenaan awal minggu ini.

Ditanya sama ada Rusia akan menggunakan kuasa vetonya dan menyekat resolusi itu di UNSC, Liow berkata adalah tidak wajar untuk menghakiminya terlalu awal dan biarlah resolusi itu dibentang terlebih dahulu.

Menjawab satu lagi soalan, beliau berkata: "Kami juga adalah sebahagian daripada JIT dan siasatan boleh berlarutan hingga selepas tahun ini.

Dengan adanya laporan teknikal itu, kami berharap akan dapat melihat secara lebih terperinci serta mendapat tahu siapakah pelakunya untuk memastikan penjenayah 'yang gila menembak itu' dibawa ke muka pengadilan.

Kata Liow, para waris mangsa akan dimaklumkan tentang perkembangan dan hasil siasatan itu pada waktu yang sesuai.

Mengenai pembayaran pampasan kepada keluarga mangsa, ketua pegawai eksekutif baharu MAS, Christoph Mueller berkata jumlah yang akan dibayar tidak boleh dinyatakan.

"Kami (MAS) puas hati dengan jumlah yang mereka tuntut. Kami masih memproses tuntutan itu kerana terdapat beberapa isu berkaitan cukai. Ketika kita bercakap ini, pampasan sedang dibayar kepada beberapa orang daripada mereka," katanya.

Mueller berkata MAS telah mengatur penerbangan kira-kira 85 anggota keluarga mangsa minggu depan (15 Julai) untuk menghadiri upacara mengingati pemergian orang yang mereka sayangi pada satu majlis di Canberra, Australia dan Nieuwegein, Netherlands pada 17 Julai.

MH17, Liow Tiong Lai

Artikel Lain