suria

Cuba Curi Alat Muzik Tradisional, Penari Kelab Malam Dipenjara

KUALA LUMPUR: Seorang penari kelab malam pada Khamis, dijatuhi hukuman penjara 20 hari atau denda RM300 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah cuba mencuri sebuah alat muzik gamelan di sebuah hotel lima bintang, Rabu.

Majistret Noor A'minahtul Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Jacklian Paul Peter, 32, dan memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap semalam (8 Julai).

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang memakai baju "ala askar" dan berambut merah terang dipenjara 10 hari jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh tidak membayar denda itu.

Peter yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di pintu hadapan Hotel Mandarin Oriental, Jalan Pinang, Dang Wangi di sini, pada pukul 10.30 pagi Rabu, mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda.

Menurut fakta kes, orang ramai dibenarkan bermain dengan alat muzik itu yang diletakkan di lobi hotel tersebut sempena bulan puasa dan Peter turut bermain alat muzik gamelan itu selama 10 minit.

Dia kemudian mengambil alat itu tetapi penyambut tetamu hotel yang melihat kejadian itu telah menahannya dan menyerahkannya kepada pengawal keselamatan.

Ketika rayuan, tertuduh memohon dibebaskan atas alasan dia mahu mencuri alat muzik itu dan menjualnya untuk membeli susu anaknya berusia tiga dan empat tahun yang tinggal di Sarawak bersama isterinya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira tertuduh cuba mencuri barang bukan miliknya.

Di mahkamah sama, seorang pemiutang dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM1,000 selepas dia mengaku bersalah mengaibkan seorang lelaki dengan cara menampal poster sehingga mendatangkan kemarahan kepada lelaki berusia 38 tahun itu.

Chow Keng Lum, 49, melakukan kesalahan itu di Blok 1, Flat Sri Johor, Cheras di sini, pada pukul 7 malam, 3 Julai lepas, mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Nur A'minahtul turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda itu. 

Dia yang tidak diwakili peguam membayar denda tersebut.

Menurut fakta kes, tertuduh telah menampal poster gambar mangsa tertulis perkataan Cina yang bermaksud 'penipu', dan 'hutang tak mahu bayar', di flat itu yang dihuni ibu mentua mangsa atas dakwaan mangsa masih berhutang dengannya.

curi, alat muzik tradisional, penjara

Artikel Lain