suria

Muhyiddin Berdiam Diri Isu Dana 1MDB

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman beramah mesra dengan Ketua-ketua Pengarang pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di Dewan Besar, Pejabat Korporat Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin pada Selasa.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin memilih untuk tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung tuduhan penyaluran sejumlah besar dana ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika hadir pada majlis berbuka puasa bersama media di ibu pejabat Utusan Melayu Malaysia Bhd di sini, Timbalan Perdana Menteri itu tidak langsung bercakap mengenai tugas rasminya.

Sebalikya beliau lebih selesa meluangkan masa selama lebih 30 minit untuk beramah mesra dengan pengamal media termasuk melayan permintaan untuk mengambil gambar selfie bersamanya.

"Pengumuman ini mungkin akan mengecewakan anda pengamal media. Tapi saya ingin maklumkan bahawa tidak ada ucapan mahupun sidang media oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam ini," kata Izwan Azir Salleh yang bertindak sebagai pengacara majlis.

Terdahulu, heboh dikalangan media bahawa Muhyiddin akan membuat kenyataan penting menerusi ucapannya pada majlis berbuka puasa tersebut yang dipercayai mempunyai hubung kait dengan skandal membabitkan Najib.

Muhyiddin hadir memakai baju Melayu berwarna ungu dan bersampin ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang mengenakan baju kurung dari rona yang sama.

Timbalan Presiden Umno itu turut menunaikan mengimamkan solat Maghrib sebelum menyertai pengamal media yang lain menunaikan solat sunat Tarawih di surau Al-Huda di ibu pejabat Utusan Melayu Malaysia Bhd.

Majlis berbuka puasa itu turut disertai seramai 80 anak yatim dari rumah anak-anak yatim dan asnaf sekitar Parlimen Bandar Tun Razak.

Muhyiddin Yassin, 1MDB

Artikel Berikut

Anwar Masuk HKL Semula

Artikel Lain