suria

Individu Terlibat Skandal Hartanah Mara Perlu Minta Maaf Atau Letak Jawatan

KUALA LUMPUR: Beberapa individu penting yang mempunyai kaitan dengan kontroversi pembelian empat hartanah di Australia oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) disarankan melepaskan jawatan atau memohon maaf kepada umum.

Pengarah Eksekutif National Oversight and Whistleblowers (NOW) Rafizi Ramli berkata,  tindakan itu penting sebagai tanda mereka bertanggungjawab kerana ‘membenarkan’ kontroversi ini berlaku dan bagi menunjukkan keadilan.

Individu yang dimaksudkan adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya anggap tindakan menggantung Pengerusi Mara Inc, Datuk Mohammad Lan Allani dan Ketua Pegawai Eksekutif Mara Inc, Datuk Abd Halim A Rahim sebagai tidak adil untuk dua orang itu.

"Pihak yang meluluskan perlu jawab. Cukup mudah ahli lembaga pengarah lepas tangan, kemudian gantung atau pecat pengurus atau eksekutif padahal ahli lembaga pengarah yang meluluskannya banyak perkara yang berlaku, sama juga seperti kes ini," dakwanya Ahli Parlimen Pandan itu pada sidang media di sini, Isnin.

Rafizi berkata, adalah tidak adil hanya dua individu yang digantung sedangkan keempat-empat pembelian hartanah Mara di Australia yang mungkin diselewengkan atau hilang diluluskan oleh Majlis Mara dan Majlis Ekonomi Negara.

Katanya, dalam hal ini, Idris selaku bekas pengerusi Mara tidak patut mengambil sikap berdiam diri dan berasa dirinya 'terlepas' dalam kes ini.

"Majlis Mara yang memutuskan pembelian sebelum ini melibatkan pengerusi Mara pada ketika itu iaitu Datuk Idris Jusoh…dia diam tak sebut satu patah pun padahal ia diputuskan semasa dia jadi pengerusi Mara.

"Begitu juga menteri yang terbabit Datuk Seri Shafie Apdal yang seharusnya menjawab dan bertanggungjawab terhadap pegawai-pegawai yang terlibat dalam kes ini," katanya.

Turut disebut sebagai bertanggungjawab adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempengerusikan Majlis Ekonomi dan Annuar yang dilihat perlu 'diberikan cuti' sementara siasatan dijalankan.

Rafizi berkata sudah tiba masanya untuk pemimpin-pemimpin menunjukkan demokrasi matang dan siasatan dilakukan secara telus bermula dari peringkat atasan yang mempunyai tanggungjawab lebih besar dan ke bawah, bukannya di perinhgkat dari bawah ke atas.

"Kalau ada skandal, pihak atasan kena berrtanggungjawab letak jawatan atau paling tidak pun minta maaf daripada orang awam kerana kerana bersikap tidak peduli dan tidak mengambil endah.

"Kalau tak nak letak jawatan sayang sangat gaji RM40,000, Datuk Seri Idris Jusoh perlu minta maaf, perdana menteri perlu minta maaf," katanya.

Khamis lalu, Mara mengumumkan bahawa Mohammad Lan dan Abd Halim A Rahim ‘direhatkan’ sepanjang siasatan dijalankan berhubung isu pembelian hartanah oleh anak syarikat Mara itu di Australia dan United Kingdom.

Keputusan dibuat susulan isu kontroversi pembelian Dudley International House dan beberapa lagi hartanah di Australia dan United Kingdom oleh Mara Inc.

Mara, NOW, Australia

Artikel Sebelum

Artikel Lain