suria

Ibu Pejabat MIC Edar Borang B Sahkan Cawangan Sedia Ada

NIBONG TEBAL: Ibu pejabat MIC dalam proses menghantar borang B kepada semua cawangan parti itu di seluruh negara bagi mengesahkan kewujudan lebih 3,400 cawangan sedia ada, kata Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan.

Beliau berkata cawangan yang telah menerima borang berkenaan boleh mengemukakan kertas pencalonan mereka pada 10, 11 dan 12 Julai ini.

"Nama cawangan ini telahpun dikemukakan kepada ROS (Pendaftar Pertubuhan) supaya dapat disahkan kewujudannya. Borang kelulusan dan keahlian juga sedang dipos kepada semua cawangan di seluruh negara.

"Mereka yang telah menerima borang B daripada ibu pejabat boleh mengadakan pemilihan cawangan. Kalau tak ada pencalonan semasa pemilihan, maka ketua cawangan itu akan diumumkan sebagai ketua cawangan yang sah.

"Tak perlu mengadakan mesyuarat agung," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan projek fertigasi cili Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (NAAM), di sini, Sabtu.

Mengenai Datuk Seri G. Palanivel yang menegaskan dirinya masih presiden MIC dan turut mengedarkan borang B kepada cawangan, Saravanan berkata perlembagaan MIC telah menyatakan Palanivel bukan lagi anggota MIC.

"Kalau dia (Palanivel) nak adakan mesyuarat cawangan, cawangan itu tidak sahlah. Macam mana bukan ahli mahu mengendalikan mesyuarat," katanya.

Saravanan yang juga Anggota Parlimen Tapah yakin pengerusi cawangan dan anggota parti sudah cukup matang untuk membuat penilaian.

Mengenai projek fertigasi cili, Saravanan yang juga pengasas Yayasan NAAM berkata sebanyak 109 pengusaha terlibat dalam fasa pertama projek itu membabitkan keluasan tanah 44.1 hektar.

Beliau berkata, untuk fasa kedua pula, sebanyak 350 pengusaha telah mendaftar selain turut menghadiri kursus awal.

Katanya Yayasan NAAM menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai belia mahir dalam bidang pertanian yang dapat memberi pulangan yang tinggi kepada mereka.
-- Bernama
MIC, borang, M Saravanan, RoS

Artikel Lain