suria

Nelayan Tangkap Ikan Pari Gergasi Di Johor

KOTA TINGGI: Ikan pari seberat 150 kilogram berjaya dinaikkan sekumpulan nelayan di Kampung Johor Lama dekat sini sekali gus menjadi rekod ikan terbesar dipercayai pernah ditangkap oleh nelayan di kampung terbabit.

Md Noh Atan, 50, berkata kebiasaannya ikan yang ditangkap beratnya sekitar 20 hingga 30 kg dan paling berat kira-kira 60kg pernah dinaikkan nelayan di situ.

Beliau, yang juga Ketua Nelayan Kampung Johor Lama, berkata ia merupakan pengalaman pertamanya sepanjang 35 tahun dia menjadi nelayan dapat menangkap ikan gergasi itu.

"Kami dapat ikan gergasi itu di perairan berhampiran Pulau Layang. Sekarang ialah musim merawai, saya bersama abang dan juga beberapa rakan turun ke laut seperti biasa mencari rezeki.

"Kami sendiri amat terkejut apabila dapat menaikkan dan melihat sendiri ikan pari sebesar itu menjadi tawanan kami," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Md Noh berkata memandangkan ikan pari itu terlalu berat, mereka gagal menaikkan ikan tersebut ke dalam bot sebaliknya hanya digantung di hadapan bot sebelum dibawa naik ke darat dengan bantuan lima orang penduduk.

Selain ikan pari itu, bapa kepada tujuh orang anak itu berkata mereka juga berjaya menangkap lima ekor ikan jerung putih.

Md Noh berkata ikan pari itu merupakan hasil tangkapan yang sangat berbaloi malah mendapat sambutan daripada penduduk yang membelinya dengan harga RM10 sekilogram.

Tambahnya, dia juga merasa amat bersyukur dan menganggap ia sebagai rezeki sempena Ramadan selain tidak akan dapat melupakan hasil tangkapan itu seumur hidupnya.

Pari, Johor Lama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lelaki Iran Maut Dibelasah

Artikel Lain