suria

6 Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Berpakat Promosi Keganasan

KUALA LUMPUR: Enam lelaki, termasuk seorang remaja, pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap pertuduhan membuat pakatan mempromosi keganasan di negara ini.

Kesemua tertuduh itu dikaitkan dengan sebuah kumpulan yang merancang beberapa serangan termasuk beberapa bangunan kerajaan dan pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

Mereka ialah dua beradik, Mohd Anwar Azmi, 33; dan Mohd Nurkamal Azmi, 30; penjaga stor Mohd Hafifi Tarmizi, 25; peniaga air Izwan Shameer Suzaimi, 25; pekerja kedai tayar Muhammad Luqman Hakim Abdul Aziz, 22; dan remaja berusia 17 tahun. Kedua adik-beradik peniaga baja.

Mereka yang dibawa dari Penjara Sungai Buloh dan memakai kemeja-T berwarna putih kelihatan tenang dan mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamardin Hashim.

Pada 20 Mei lalu, kesemua tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Kajang.

Tiada pengakuan direkodkan kerena kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa melakukan pakatan jenayah dan bersetuju untuk mempromosikan perbuatan keganasan di negara ini, di lot 3917, Kampung Bistari, Sungai Michu, Batu 13, Hulu Langat di sini, antara 7 malam 24 April dan 1 pagi 25 April lepas.

Keenam-enam mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan juga boleh didenda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon tarikh sebutan baharu memandangkan tiga tertuduh, Izwan Shameer, Muhammad Luqman Hakim dan remaja lelaki tersebut masih belum melantik peguam.

Mohd Anwar dan Mohd Nurkamal diwakili peguam K. L Chee manakala Mohd Hafifi diwakili Ridha Abdah Subri.

Mahkamah menetapkan 28 Ogos ini untuk pengurusan kes dan 7 Dis untuk perbicaraan kes itu.

Pada 25 dan 26 April lalu keenam-enam mereka adalah antara 12 lelaki warga tempatan yang ditahan polis kerana disyaki anggota kumpulan pengganas IS.

Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 17 hingga 41 tahun ditahan di Hulu Langat dan Cheras dan dipercayai berkomplot melancarkan serangan ke atas sasaran strategik dan berkepentingan kerajaan di sekitar Lembah Klang.

Militan, Kajang

Artikel Lain