suria

Cinta Tiga Segi: Lelaki Kekal Dipenjara Sehingga Mendapat Pengampunan

PUTRAJAYA: Cinta tiga segi akhirnya membawa seorang lelaki kekal dipenjara selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan membunuh teman wanitanya, sembilan tahun lepas.

Panel lima anggota diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif menolak rayuan seorang lelaki berumur 24 tahun terhadap sabitan dan hukuman ditahan di penjara selama tempoh yang mendapat perkenan Sultan Pahang kerana membunuh seorang remaja perempuan berumur, 16 tahun.

Empat lagi hakim yang bersidang ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, dan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Ketika kejadian lelaki itu berumur 15 tahun dan telah berhenti sekolah.

Mengikut Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-kanak 2001, seorang kanak-kanak yang didapati bersalah tidak boleh dikenakan hukuman mati dan akan dipenjarakan di satu tempat sehingga mendapat perkenan Sultan atau Raja.

Dalam keputusannya Hakim Md Raus berkata perayu dalam pembelaannya berkata dia tidak berada di tempat kejadian tetapi saksi pendakwaan keenam melihat perayu telah mengejar si mati dan perayu juga adalah orang terakhir berada dengan si mati.

Hakim Md Raus berkata saksi pendakwaan itu juga melihat perayu mengeluarkan pisau pada masa kejadian.

Remaja itu yang bekerja sebagai penjaga pusat karaoke semasa kejadian didakwa membunuh Noraini Omar, dengan menikamnya, di kawasan jalan pintas antara Simpang Jengka 5 ke Kuala Sentul, Sungai Jerik, Maran, Pahang, pada 2 Sept 2006, pukul 4.30 petang.

Perayu merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh yang mensabitkannya terhadap pertuduhan membunuh Noraini dan memerintahkannya ditahan selama tempoh yang mendapat perkenan Sultan Pahang.

Mengikut fakta kes kejadian itu berpunca apabila saksi pendakwaan keenam, yang juga teman wanita kepada perayu mahu perayu memilihnya atau Noraini.

Perayu berkata dia hendak kedua-duanya sekali dan dia juga memberitahu niatnya untuk membunuh kedua-dua mereka dan dia kemudian mengeluarkan pisau dari belakangnya.

Perayu kemudian mengejar remaja perempuan itu dan ketika adegan mengejar itu saksi pendakwaan keenam yang berada di hadapan si mati, kemudian menoleh ke belakang dan melihat perayu telah menerkam kepada si mati.

Selepas itu saksi pendakwaan keenam itu menyorok dalam semak dan mendengar mangsa menjerit meminta tolong.

Selepas 20 minit, mangsa dijumpai mati oleh orang awam dalam takungan darah di kawasan semak berdekatan tempat kejadian, mengalami 18 kecederaan dan beliau mati akibat tikaman di leher.

Peguam Rozilan Abdul Rahman mewakili perayu manakala Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali mewakili pihak pendakwaan.

Mahkamah, Bunuh, Kuantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain