suria

Kaji Semula Notis Pemberitahuan Harga Minyak - Fomca

Contoh pemberitahuan KPDNKK berhubung harga minyak semasa yang berkuatkuasa 1 Jun 2015.

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji semula keputusan untuk tidak mengeluarkan notis pemberitahuan mengenai perubahan harga minyak kepada orang ramai bagi mengelakkan pengguna panik, demikian menurut Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Timbalan Presiden Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata tidak dinafikan harga minyak akan sentiasa berubah namun notis pemberitahuan dapat membantu pengguna untuk melakukan penjimatan.

"Kita tidak tahu mengapa kerajaan tidak mahu memberikan notis pemberitahuan kepada pengguna. Mungkin kerajaan ada alasan tersendiri... akan tetapi apabila ada notis pemberitahuan, pengguna boleh jimat walaupun penjimatan dilakukan itu tidak banyak.

"Apabila tiada notis ini pengguna akan tertunggu-tunggu apakah pengumuman  (notis pemberitahuan) yang akan dibuat oleh kerajaan dan sampai bilakah keputusan kerajaan ini (tidak mengeluarkan notis pemberitahuan) jika harga minyak terus naik," katanya kepada Bernama.

Berkuatkuasa 1 Disember tahun lepas, kerajaan melaksanakan kaedah pengapungan terkawal bagi penetapan harga runcit petrol RON95 dan diesel, seperti yang dilaksanakan bagi harga runcit RON97 sejak Julai 2010, menjadikan harga bahan bakar berubah mengikut harga pasaran minyak dunia.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek memberitahu tiada lagi notis pemberitahuan mengenai perubahan harga minyak kepada orang ramai dan hanya akan dimaklumkan kepada pengusaha minyak pada setiap hujung bulan pada pukul 12 tengah malam.

Mohd Yusof berkata lebih memburukkan keadaan apabila ada di kalangan pengusaha minyak, yang terlebih dahulu mengetahui perubahan harga, mengambil kesempatan ke atas pengguna dengan menipu dan memaklumkan bekalan minyak tidak mencukupi.

"Oleh kerana hanya pengusaha minyak sahaja yang tahu bila kenaikan harga minyak berlaku mungkin ada pengusaha minyak ambil kesempatan walaupun hakikatnya bekalan minyak mencukupi,"katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kesan lain apabila notis pemberitahuan tidak dihebahkan kepada pengguna adalah kemungkinan kos pengangkutan meningkat mendadak terutama yang membawa barangan keperluan asas.

Ini akan menyebabkan harga barang lain turut meningkat akibat kenaikan kos pengangkutan, sekali gus memberi kesan dan membebankan rakyat.

Sebelum ini, pemberitahuan mengenai perubahan harga minyak diumumkan di laman web rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Bagi Julai, harga runcit RON95 naik 10 sen menjadi RM2.15 seliter daripada RM2.05 pada Jun, RON97 naik 20 sen kepada RM2.55 termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (daripada RM2.35 seliter) manakala bagi diesel dan diesel Euro5 masing-masing kekal RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter.-- Bernama

Fomca, harga minyak, notis, KPDNKK

Artikel Lain