suria

NFCorp: Pendengaran Rayuan Kes Mohamad Salleh 24 Julai

Mohamad Salleh Ismail

KUALA LUMPUR: Pendengaran rayuan bagi kes Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail untuk mengetepikan dua tuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta, yang dihadapinya, ditetapkan 24 Julai ini di Mahkamah Rayuan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Ilmami Ahmad ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang pada Isnin.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan semula kes itu sementara menunggu keputusan rayuan.

Mohamad Salleh, bagaimanapun tidak hadir pada prosiding hari ini.

Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh selaku pengarah (sekarang pengerusi eksekutif) NFCorp, didakwa menyalahgunakan RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium 'One Menerung' di Parcel BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot No. 56454, Mukim Kuala Lumpur.

Kesalahan itu dilakukan di antara 1 dan 4 Disember 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail.

Bagi pertuduhan kedua, di alamat dan bank sama, antara 6 Mei dan 16 November 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat  and  Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat itu di mana beliau dan seorang anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.

Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 409, Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara sekurang-kurangnya dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh didenda.

NFCorp, Mohamad Salleh Ismail

Artikel Lain