suria

MAHB Mohon Maaf Kepada Penumpang Berhubung Insiden Kod Pakaian

PETALING JAYA: Malaysian Airports Holdings Bhd (MAHB) memohon maaf kepada seorang penumpang yang dipaksa memakai seluar panjang dan kasut berikutan seluar paras lutut dan sandal yang dipakainya dianggap tidak sesuai di kawasan 'Hilang dan Jumpa' bagi perkhidmatan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kami ingin membuat permohonan maaf kepada Mr Ng di atas sebarang kesulitan semasa insiden berlaku."

MAHB dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, ia telah menyiasat perkara itu dan mendapati wujudnya salah faham mengenai pelaksanaan polisi berkaitan dengan pengeluaran pas pelawat di lapangan terbang.

"Pertama sekali, kod pakaian itu dibuat terhadap orang awam yang mendapatkan pas pelawat bagi memasuki terminal untuk sebarang lawatan rasmi atau berkaitan kerja.

"Bagaimanapun, kod pakaian tidak diguna pakai kepada penumpang yang melalui lapangan terbang.

"Dalam kes ini, kami menyesali terdapat kekeliruan mengenai keperluan kod pakaian yang berlaku kepada Mr Ng yang memohon pas pelawat bagi memasuki semula ke terminal untuk ke pejabat 'Hilang & Jumpa" Penerbangan Malaysia (MAS) yang terletak di dalam kawasan terminal," kata MAHB.

Pada 7 Mei lalu, ahli perniagaan, Steven Ng pergi mengambil bagasinya yang ditinggalkan secara tidak sengaja di bahagian tuntutan bagasi sebelum ini diminta pulang untuk menukarkan pemakaiannya terlebih dahulu.

"Saya terkejut dan kecewa. Bagaimanapun, saya cuba bertenang dan memperjelaskan kepadanya. Pertamanya, rumah saya bukan dekat dengan KLIA dan keduanya, saya tidak diberitahu apa-apa mengenai kod pakaian semasa saya membuat panggilan sehari sebelum datang ke KLIA.

"Kami telah berbincang dan saya memastikan untuk tidak meninggikan suara dan dia meminta saya pergi ke pejabat keselamatan. Dalam fikiran saya, saya hanya mahu mengambil beg saya dan pergi, dan saya tidak mahu timbulkan sebarang masalah atau pertengkaran," katanya dalam kenyataan di blog.

Ia merupakan laporan pertama yang dihadapi lelaki berhubung isu kod pakaian.

Pada pagi Khamis lalu, seorang wanita didakwa tidak dibenarkan masuk ke kompleks mahkamah Balik Pulau kerana skirt paras lututnya terlalu pendek.

Dua lagi insiden yang berlaku pada minggu ini - dua wanita terpaksa memakai kain sarung untuk memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor dan seorang wanita diarahkan memakai tuala kerana berseluar pendek di Hospital Sungai Buloh.

Dalam insiden lain pada 8 Jun lalu, seorang wanita tidak dibenarkan memasuki pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Gombak kerana memakai skirt di atas paras lutut dan diarahkan supaya memakai kain sarung.

Artikel Lain