suria

Guru Tuisyen Bunuh Diri Selepas Ditipu Lelaki

Wai Hong menunjukkan gambar kakaknya, mendiang Wai Yi pada sidang media.

PETALING JAYA: Seorang guru tuisyen berusia 32 tahun membunuh diri selepas ditipu sebanyak RM75,000 oleh seorang lelaki yang tidak pernah ditemuinya.

Liew Wai Yi ditemui mati pada Ahad lalu di tempat letak kereta dipercayai jatuh dari sebuah bangunan di Seri Kembangan.

Menurut adik perempuannya, Wai Hong, keluarganya kemudiannya menemui pesanan teks di dalam telefonnya yang menggambarkan bahawa Lie kemungkinan merupakan mangsa penipuan seorang lelaki.

Wai Hong berkata, kakaknya mengenali seorang lelaki bernama Aslam Roger Lloris Mustaafa secara dalam talian sejak awal Februari lalu menerusi aplikasi WeChat dan WhatsApp, tetapi keluarganya percaya nama dan gambar profil lelaki itu adalah palsu.

'Aslam' menerusi mesej tersebut mendakwa dia mengalami sakit jantung dan memerlukan wang untuk menjalani pembedahan di Singapura, dan berdasarkan pemeriksaan mendapati Wai Yi mula memasukkan wang kepadanya melalui ATM sejak 9 Februari lalu.

Secara keseluruhan, sebanyak 14 transaksi dibuat terhadap akauan bank Hong Leong Bank yang sama, di mana yang terakhir pada 29 April, dengan jumlah antara RM400 sehingga RM11,000.

Keluarganya percaya Wai Yi telah membuat pinjaman untuk memberikan wang kepada lelaki itu kerana pendapatannya sebagai guru tuisyen tidak cukup untuk mendapat sejumlah RM75,000 dalam hanya tiga bulan.

Pada sidang media di Biro Aduan MCA pada Jumaat, Wai Hong mendedahkan beberapa mesej antara mendiang dan 'Aslam' seperti "tiga bulan awak dapat 75k (RM75,000) untuk saya, saya mahu belajar daripada awak", "ibu bapa saya akan bunuh saya dan tidak akan maafkan saya sekiranya mereka tahu saya pinjamkan wang kepada orang yang tidak pernah berjumpa" dan "saya akan mati tak lama lagi. Sila lihat berita mengenai saya di TV atau akhbar".

Wai Hong berkata, kakaknya berkelakuan aneh kira-kira seminggu sebelum kematiannya tetapi tidak pernah menceritakan masalah kepada sesiapa.

Ketua biro, Datuk Seri Michael Chong berkata, pasukannya kini menumpukan terhadap suspek dari Subang Jaya, dan dia akan dijejaki polis tidak lama lagi.

Polis daerah Serdang mengesahkan mereka sedang menyiasat kes berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain