suria

1MDB: Justo Dakwa Diminta Manipulasi Fakta

Ahmad Zahid Hamidi.
MELAKA: Beberapa rakyat Malaysia boleh diekstradisi ke Bangkok untuk membantu siasatan terhadap dakwaan berkaitan kebocoran dokumen oleh bekas eksekutif PetroSaudi, Xavier Andre Justo.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata individu tersebut dipercayai meminta Justo untuk memanipulasi fakta tertentu ke atas maklumat kepada Sarawak Report seperti yang diberitahu warganegara Switzerland itu semasa soal siasat oleh pihak berkuasa Thai.

Katanya, pihak berkuasa menerima maklum balas awal bahawa rakyat Malaysia boleh dipanggil bagi membantu siasatan walaupun tiada permintaan rasmi melalui saluran diplomatik atau menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengekstradisi individu tersebut ke Bangkok.
 

"Dalam soal siasat, Justo menyebut nama beberapa rakyat Malaysia yang kononnya memintanya untuk memanipulasi fakta daripada maklumat yang dimuat turun dari sistem komunikasi PetroSaudi.

"Sekiranya pihak berkuasa Thailand mempunyai maklumat yang cukup, kebarangkalian proses ekstradisi rakyat Malaysia tidak akan timbul sementara itu, kita akan mengetahui siapa individu tersebut, sekiranya permintaan itu dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Masjid Terapung Durian Daun, penyampaian sumbangan kepada fakir miskin dan majlis berbuka puasa di Sekolah Menengah Agama Imtiaz Ulul Albab, Durian Daun di sini, Khamis.

Syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menegaskan, sebahagian e-mel dan dokumen yang bocor seperti disiarkan dalam sebuah blog, Sarawak Report sebelum ini didapati telah dipinda. 

Justo ditahan di sebuah rumah di Koh Samui pada Isnin atas dakwaan membocorkan maklumat kepada Sarawak Report mengenai 1MDB.

Ahmad Zahid Hamidi, 1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain