suria

Helikopter Bawa Kru MT Orkim Harmony Yang Cedera Ke HUSM Kubang Kerian

KUALA LUMPUR: Tukang masak kapal tangki MT Orkim Harmony yang cedera di paha kiri selepas ditembak perampas kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Timbalan Pengarah Kanan Klinikal HUSM Dr Nik Min Ahmad berkata, tukang masak warga Indonesia itu, Mawit Martin, 45, dimasukkan ke hospital pada pukul 10.15 pagi Jumaat, selepas dibawa dari kapal itu menggunakan helikopter.

"Dia dilaporkan stabil dan sedang mendapatkan rawatan dengan pegawai perubatan yang bertugas. Kami akan beritahu perkembangan mengenai dia dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di HUSM, Jumaat.

Kesemua 22 kru kapal tangki itu berjaya dibebaskan kira-kira pukul 2.30 pagi ini menerusi rundingan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan perampas kapal berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, baki kru kapal berkenaan sedang dalam perjalanan ke Pelabuhan Kuantan, Pahang dan dijangka tiba 2 pagi esok (20 Jun).

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada pukul 8.57 malam, 11 Jun lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd, ia membawa 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar.-- Bernama



Orkim Harmony, HUSM, Mawit Martin

Artikel Lain