suria

Bersauh Haram: Kapal Bawa 14 Kru Asing Ditahan

JOHOR BARU: Sebuah kapal yang membawa 14 kru warga Indonesia dan Myanmar ditahan di kedudukan dua batu nautika selatan perairan Tanjung Bulat semalam, setelah didapati bersauh tanpa kebenaran.

Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata pihaknya mengesan kegiatan itu ketika melakukan rondaan di perairan tersebut kira-kira pukul 2.30 petang.

Beliau berkata, apabila diperiksa, juragan kapal itu didapati tidak melaporkan ketibaannya kepada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Kapal Mt Perkasa Hiu itu didaftarkan di Malabo, Equatorial Guinea dan mempunyai 14 anak kapal berusia antara 20 dan 50 tahun serta membawa 34 metrik tan Marine Gas Oil, 230 metrik tan Kerosene dan 250 metrik tan Light Crude Oil," katanya dalam kenyataan, di sini, Khamis.

Menurut Amran, tiga daripada 14 kru kapal berkenaan telah dibawa ke pejabat APMM Tanjung Sedili untuk siasatan.

Jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952), denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan.

Beliau berkata, sehingga hari ini, APMM menyelesaikan enam kes seumpamanya dan usaha akan terus dilakukan bagi memastikan keselamatan kapal yang melalui perairan negara dan pada masa sama, mematuhi undang-undang maritim Malaysia.--Bernama

Tanjung Bulat, Myanmar, APMM

Artikel Lain