suria

Pakatan Tidak Mati, Hanya 'Pengsan' - Mustafa Ali

Mustafa Ali.

KUALA TERENGGANU: Pengarah Pilihan Raya PAS yang baharu dilantik, Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu akan tetap bersama PKR untuk memastikan Pakatan Rakyat terus hidup.

"Pakatan tidak mati, hanya 'pengsan'," katanya pada sidang media di pejabat Perhubungan PAS Terengganu di sini, Rabu.

Beliau berkata, pakatan pembangkang hanya mengalami sedikit kejutan berikutan keputusan DAP untuk keluar dari Pakatan Rakyat.

"DAP yang memutuskan untuk meninggalkan Pakatan," katanya sambil mengimbas kembali insiden serupa pada 2001 apabila DAP meninggalkan Barisan Alternatif tetapi akhirnya kembali semula pada 2008 untuk membentuk Pakatan Rakyat.

Mustafa berkata tiada parti boleh bergerak sendirian dan satu bentuk pakatan diperlukan.

Beliau juga merujuk kepada kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa PKR akan terus kekal dalam Pakatan.

"Tidak ada isu Selangor jatuh kepada pembangkang kerana kami juga diarahkan untuk kekal dengan kerajaan," katanya.

Beliau berkata mereka perlu mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut yang mereka hadapi pada hari ini.

"Kami perlu mencari preskripsi terbaik untuk meneruskan gabungan itu kerana preskripsi sedia ada mempunyai kesan sampingan," katanya.

Sementara itu, Mustafa turut menyifatkan tindakan DAP meninggalkan Pakatan sebagai 'latihan akademik'.

Diminta mengulas mengenai perjuangan dalaman parti itu, Mustafa berkata, ahli parti itu yang menyertai PasMa tidak akan memberi ancaman kepada PAS.

"PasMA bukan satu ancaman, ancaman sebenar adalah parti politik yang baharu," katanya.

PasMa, Mustafa Ali, PAS, Pakatan Rakyat

Artikel Lain