suria

Huru-Hara Dalam Pakatan Jejaskan Kerajaan Selangor

PETALING JAYA: DAP kini mengisytiharkan Pakatan Rakyat telah mati, maka apakah yang terjadi kepada kerajaan Selangor?

Menurut pakar undang-undang perlembagaan, jawapan kepada persoalan itu dapat ditentukan berdasarkan salah satu daripada dua cara.

Pertamanya adalah dengan mewujudkan undi tidak percaya terhadap kerajaan negeri di mana akan melibatkan 56 ahli dewan undangan negeri (Adun). 

Keduanya, meyakinkan Sultan Selangor bahawa kerajaan negeri telah kehilangan sokongan majoriti daripada Dewan Undangan Negeri (DUN).

Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, walaupun pengumuman mengenai Pakatan Rakyat dibuat oleh DAP, namun Menteri Besar Selangor, Azmin Ali tidak memerlukan undang-undang untuk membuktikan kerajaan negerinya yang terdiri daripada DAP, PAS dan PKR masih bertahan.

"Ia merupakan urusan mereka yang percaya sebaliknya untuk menunjukkan dia tidak mempunyai jumlah sokongan," kata Dr Shah Saleem.

Dengan DUN ketika ini tidak bersidang, pilihan lain adalah mendapatkan perkenan Sultan Selangor.

"Sebagaimana kes yang dihadapi bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Sultan diberi kuasa untuk menggunakan pertimbangan baginda bagi memutuskan sekiranya terdapa hilang kepercayaan," katanya.

Dr Shah Saleem berkata, sekiranya DAP dan PAS berpecah di Selangor, Adun bebas tunggal di negeri itu, Tan Sri Khalid Ibrahim akhirnya dapat memainkan peranan utama.

"Tiada krisis lagi tetapi jika PAS mengumumkan untuk bekerjasama dengan Umno, Khalid bersama Adun lain yang bertukar arah boleh mengubah keseimbangan kuasa dan menjadi penentu," kata Dr Shah Saleem.

Seorang lagi penganalisis politik menyifatkan pengumuman DAP sebagai sesuatu yang samar-samar.

Prof Datuk Mohamed Mustafa Ishak berkata, apabila DAP mengumumkan tiada lagi Pakatan, ia gagal menyatakan sama ada PAS dibuang atau diminta untuk keluar daripadanya.

"Pada tahap ini, DAP membuat keputusan yang sebelah pihak tetapi tidak mempunyai kesan atau akibat yang besar," tambahnya.

Mohamed Mustafa berpendapat bahawa pengumuman itu merupakan satu muslihat DAP untuk mendesak PAS supaya meninggalkan Pakatan, maka ia tidak akan didakawa sebagai sebagai penyebab bagi menyingkirkan parti Islam tersebut.

"Itulah sebab kenapa DAP tidak jelas dalam isu ini. Jika tiada lagi Pakatan dan PAS bukan lagi sekutu, kerajaan Selangor akan berada dalam keadaan terawang-awang. DAP tidak mahu dipersalahkan sekiranya berlaku kejatuhan Selangor," katanya.

Artikel Lain