suria

Palanivel Fail Rayuan Terhadap Keputusan Mahkamah Tinggi

Datuk Seri G. Palanivel
KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel dan tiga orang lagi pada Selasa memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan semula kehakiman mereka bagi mengetepikan 'perintah' Pendaftar Pertubuhan (RoS) agar parti itu mengadakan pemilihan semula.

Ketika dihubungi pada Selasa, peguam J. Chandra, yang mewakili Palanivel, naib presiden MIC Datuk S. Sothinathan dan Datuk S. Balakrishnan serta bekas setiausaha agung parti itu, A. Prakash Rao, berkata beliau memfailkan notis rayuan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 2.30 petang ini.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Asmabi Mohamad menolak permohonan semakan semula kehakiman mereka dan memutuskan bahawa RoS sekadar memberi pendapatnya bahawa MIC perlu menyelesaikan pertikaian dalamannya dan bukan arahan supaya diadakan pemilihan semula.

Beliau berkata malah cadangan agar parti itu mengadakan pemilihan semula untuk menyelesaikan masalahnya dibuat Palanivel sendiri.

Asmabi berkata Palanivel, dalam sepucuk surat bertarikh 9 Feb 2015, menyatakan beliau bersetuju untuk menyelesaikan masalah parti itu dengan mengadakan pemilihan semula jawatan di semua cawangan dan bahagian, termasuk bagi jawatan presiden.

Oleh itu, kata beliau, mahkamah tidak mempunyai sebab untuk campur tangan terhadap pendapat RoS 'kerana ia tidak dicemari penyelewengan, ketidakwajaran dan ketidakrasionalan'.

Keempat-empat mereka memfailkan permohanan semakan semula kehakiman itu pada 24 Feb 2015 untuk menuntut, antara lain, mahkamah mengetepikan 'arahan' RoS agar MIC mengadakan pemilihan semula.

Datuk Seri G. Palanivel, RoS

Artikel Berikut

Artikel Lain