suria

Pakatan Rakyat Sudah Tidak Wujud - DAP

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pusat DAP memutuskan Pakatan Rakyat sudah tidak wujud lagi, kata Lim Guan Eng.

Menurut lidah rasmi parti berkenaan, Roketkini, Setiausaha Agung DAP itu berkata, beberapa tindakan kepimpinan PAS terutama Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah antara punca perkara itu diputuskan pada mesyuarat yang berlangsung malam Isnin itu.

"Memandangkan Pakatan Rakyat dibentuk oleh ketiga-tiga parti berdasarkan konsensus dan terikat dengan dasar bersama, usul di Muktamar PAS itu telah membunuh Pakatan Rakyat.

“Justeru kini, tiada lagi Pakatan Rakyat.

“DAP akan bekerjasama dengan PKR dan semua pihak yang mahu melihat pemerintahan Umno/Barisan Nasional berakhir, bagi membentuk semula politik Malaysia dengan cita-cita menawan Putrajaya demi rakyat,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menerusi kenyataannya, Guan Eng berkata, Pakatan Rakyat ditubuhkan pada 1 April 2008 sebagai respons bersama DAP, PKR dan PAS untuk memenuhi aspirasi rakyat yang ingin melihat perubahan politik di Malaysia berikutan tsunami pilihan raya umum pada 8 Mac 2008.

Katanya, dengan sokongan daripada rakyat Malaysia, parti-parti pembangkang memenangi lebih satu pertiga daripada kerusi Parlimen dan lima kerajaan negeri.

“Ia mendorong pimpinan DAP, PKR dan PAS untuk membentuk Pakatan Rakyat dengan beberapa prinsip yang dikongsi bersama.

“Namun, ekoran beberapa insiden sepanjang tahun lalu, termasuk krisis Menteri Besar Selangor, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencabuli keputusan yang telah dicapai di peringkat Majlis Pimpinan mengakibatkan muafakat sedia ada hampir lumpuh.

“Keadaan Pakatan Rakyat yang hampir lumpuh ini direncatkan lagi dengan kerelaan Abdul Hadi membentuk sebuah kerajaan perpaduan bersama Umno serta sokongan beliau terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya dipetik menerusi laporan itu.

Menurut Guan Eng, Pakatan Rakyat terus lumpuh apabila Hadi memungkiri janji peribadinya dalam mesyuarat Majlis Pimpinan pada 10 Februari lalu untuk membincangkan cadangan undang-undang hudud PAS terlebih dahulu sebelum ia dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan atau dibawa ke Parlimen.

Pengkhianatan Hadi, kata Ahli Parlimen Bagan itu, berterusan apabila pada 6 Jun lalu, Muktamar PAS menerima usul memutuskan hubungan dengan DAP tanpa sebarang perbahasan.


Lim Guan Eng, DAP, Pakatan Rakyat

Artikel Lain