suria

Pasangan Warga Emas Maut Kemalangan Motosikal

ALOR SETAR: Pasangan suami isteri warga emas maut selepas motosikal dinaiki mereka bergesel dengan sebuah kenderaan berat di Jalan Changlun-Kangar dekat Kampung Sungai Laka, Changlun Isnin.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Abd Rahim Abdullah berkata Daud Hasan, 78, dan isteri Faridah Kassim, 64, dari Kampung Baru Sungai Laka, Changlun meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, motosikal dinaiki pasangan itu terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar sebatang tiang akibat pergeselan itu.

"Kenderaan berat yang tidak diketahui jenisnya melarikan diri sejurus selepas kemalangan itu berlaku," menurutnya dalam kenyataan pada Isnin. 

Mayat dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga, katanya.

Abd Rahim berkata saksi kejadian diminta tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA
Kemalangan

Artikel Berikut

Artikel Lain