suria

"Anda Menteri, Bukan Tuhan Dari Syurga," Kata TMJ Kepada Nazri

Tunku Ismail Sultan Ibrahim
PETALING JAYA: Perang mulut di antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan Tunku Mahkota Johor berterusan dengan Nazri dikatakan 'bukan Tuhan' sehingga tidak boleh ditegur.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim di halaman Facebook Johor Southern Tigers berkata bahawa beliau bersuara bagi memberikan pandangan dan peringatan kepada pemimpin tentang amanah yang telah diberikan kepada rakyat.

Menurut Tunku Ismail, serangan terhadapnya dan teguran yang tidak dapat diterima itu jelas menunjukkan kepada rakyat sikap angkuh dan sombong pemimpin berkenaan.

Dalam nada kesal, Tunku Ismail berkata, sekiranya teguran tersebut tidak dapat diterima oleh 'seorang menteri' bagaimana pula harapan rakyat agar teguran mereka dapat didengari.

"Nampaknya teguran saya secara baik ini telah mendapat maklum balas yang kasar daripada seorang menteri.

"Kalau saya mendapat jawapan sedemikian, apa harapan untuk teguran rakyat lain didengar?

"Anda seorang menteri, bukannya Tuhan yang tidak boleh ditegur. Jangan fikir rakyat negara ini wujud untuk memberikan anda jawatan dan kekayaan, tetapi jawatan tersebut wujud supaya anda memberikan khidmat kepada rakyat," titah Tunku Ismail dalam posting yang dimuatnaik dalam kira-kira pukul 3 petang Isnin.

Tunku Ismail berkata bahawa beliau telah diserang disebabkan pandangan yang menyeru pemimpin di negara ini agar tidak menyalahkan rakyat jika kepimpinan mereka sudah tidak diyakini dan dipercayai.


"Apabila saya bersuara, saya melakukannya sebagai pemimpin rakyat saya, rakyat Johor dan Malaysia.

"Saya hanya mengingatkan para pemimpin negara ini bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat, dan nampaknya oleh sebab itu saya diserang," titah Tunku Ismail lagi.

Menurut Tunku Ismail, seharusnya setiap orang di negara ini diberi hak untuk bersuara dan memberikan pandangan tetapi perkara ini tidak berlaku di Malaysia.

"Keadaan di Malaysia pada hari ini tidaklah begitu, menteri-menteri pantang ditegur.

"Saya rela dicemuh untuk mempertahankan perkara yang benar, daripada disanjung untuk membela perkara yang salah," jelas Tunku Ismail.

Tunku Ismail menegaskan beliau sedar dirinya bukanlah ahli politik tetapi apa yang dilakukan adalah 'tanggungjawab kepada Allah, Sultan saya, dan rakyat Johor'.

Malah Tunku Ismail turut menegaskan dirinya bukan menjalankan suruhan seperti boneka dan hanya menyatakan pendirian untuk rakyat, bukan untuk merebut kuasa, bukan untuk menumbangkan kerajaan, tetapi untuk menjaga kesejahteraan rakyat.


"Kalau hendak diikutkan, saya boleh hidup dalam dunia saya sendiri tanpa menghiraukan permasalahan rakyat, tetapi saya di sini berdiri teguh bersama mereka.

"Jadi kepada mereka yang ingin mencemar imej saya dan menjadikan saya musuh awam nombor satu, sesungguhnya rakyat lebih bijak dan mampu menilai sendiri.

"Jangan gunakan saya untuk mengalihkan tumpuan daripada isu-isu nasional yang lain. Negara ini memerlukan ahli politik yang bersih dan telus, yang menjalankan tanggungjawab mereka dengan keikhlasan dan integriti," tegas Tunku Ismail lagi.

Pada Sabtu, Nazri telah mengkritik Tunku Ismail dengan berkata, kerabat diraja tidak seharusnya melibatkan diri dalam politik.


Nazri berkata demikian sebagai mengulas posting yang dibuat oleh Tunku Ismail pada 5 Jun, mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak menghadiri sesi dialog terbuka yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Tunku Ismail dengan segera memberi maklum balas terhadap posting tersebut melalui video dengan hanya memberi isyarat seolah-olah baginda tidak takut untuk menghadapi sebarang cabaran.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Nazri akan disiasat di bawah Seksyen 505B Kanun Keseksaan berikut kenyataan beliau terhadap Tunku Ismail.

Artikel Lain