suria

Najib Anggap Wang Adalah Raja - Tun M

KUALA LUMPUR: Walaupun ditegur perbuatan menabur wang kepada rakyat adalah salah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetap tidak mengendahkan nasihat yang diberikan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, bekas perdana menteri itu berkata, Najib didakwa memberitahu 'wang adalah raja'.

"Saya tegur beri wang adalah salah tapi beliau kata wang adalah raja. (Najib) fikir apabila anda beri wang anda jadi popular. Jika rakyat sayang anda mereka tidak akan angkat placard 'saya sayang PM'," katanya pada sidang media selepas berucap pada ceramah 'Dangeroua Ideas' di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Najib yang memberitahu bahawa Dr Mahathir begitu terdesak mahu beliau meletak jawatan kerana perdana menteri itu tidak mengikut arahannya.

Menurut Dr Mahathir, beliau amat kecewa kerana Najib tidak mengendahkan nasihat yang diberikan.

"Sudah semestinya itu nasihat yang saya berikan tapi dia tidak dengar. Saya amat kecewa," katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir mendakwa, banyak kesalahan yang dilakukan Najib sejak beliau menjadi perdana menteri.

"Saya boleh senaraikan kesalahan beliau. Namun saya tetap menyokongnya pada pilihan raya umum yang lalu dengan memberinya enam kerusi tambahan untuk menang di Kedah," katanya.

Malah, Dr Mahathir berkata beliau  pernah memberitahu Najib supaya meletak jawatan sekiranya Barisan Nasional (BN) kehilangan banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, tetapi tetap memberikan peluang kepadanya sehingga timbulnya kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya pernah katakan sebelum PRU jika dia lakukan lebih teruk daripada Pak Lah, dia patut letak jawatan.

"Tapi bila dia lebih teruk daripada Pak Lah, saya fikir untuk berikan dia peluang. Tapi kerajaan kehilangan wang berbilion ringgit adalah satu yang saya tak boleh terima," katanya.

Berikutan kontroversi itu, Dr Mahathir berkata beliau tidak boleh lagi menyokong Najib walaupun beliau merupakan anak seorang tokoh yang diseganinya.

Artikel Berikut

TMJ Beri 'Isyarat'

Artikel Lain