suria

DUN Selangor Tak Akan Dibubar - Azmin

Azmin Ali.

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak akan dibubarkan walaupun ketika ini wujudnya konflik antara DAP dan PAS.

"Tidak, ia bukannya isu," kata Menteri Besar, Azmin Ali secara ringkas dan tegas pada Jumaat ketika ditanya berhubung isu tersebut.

Beliau berkata, para pemimpin dari ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat sejak beberapa hari lalu bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

Ditanya sekiranya PKR akan berpihak kepada PAS atau DAP, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, mesyuarat itu adalah mengenai keseluruhan situasi dan masa depan pakatan pembangkang.

"Mesyuarat masih berjalan," katanya sambil menambah bahawa Pakatan Rakyat beberapa kali mengadakan pertemuan untuk membincangkan isu-isu yang berkenaan dengan pembangkang.

Hubungan antara PAS dan DAP semakin renggang apabila parti Islam itu dalam muktamar mereka baru-baru meluluskan usul 'bercerai' dengan DAP kerana perbezaan mereka terutama berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan.

Terdapat kemungkinan bahawa berlakunya penggantungan DUN di Selangor sekiranya PAS keluar dari Pakatan, kerana DAP dan PAS masing-masing mempunyai 15 kerusi, manakala PKR mempunyai 13 kerusi dalam 56 kerusi DUN.


Artikel Lain