suria

Puncak Niaga Mungkin Batal Perjanjian Air

KUALA LUMPUR:  Isu penyusunan semula air Selangor telah berlarutan terlalu lama dan Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB) mungkin  membatalkan perjanjian dengan entiti milik negeri Selangor, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, PNHB berkata ia berharap tidak akan ada lagi lanjutan bagi Air Selangor untuk memenuhi syarat-syarat dalam perjanjian jual beli (SPA).

Tarikh tamat terkini menjadi Lanjutan Masa Kelima SPA ialah pada Khamis.
 
"PNHB tiada pilihan selain menggunakan hak-hak undang-undang untuk membatalkan SPA dengan Air Selangor," kata Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan PNHB Tan Sri Rozali Ismail dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd akan memulakan semula tindakan undang-undang mereka yang telah tertangguh sementara menunggu penyelesaian penstrukturan semula industri air Selangor.

Langkah itu bertujuan untuk mendapatkan balik hutang tertunggak oleh Kerajaan Negeri Selangor yang mencecah RM4.97 bilion pada 31 Mac, 2015.

Ketidakpastian yang berpanjangan dalam penyusunan industri air Selangor telah menjejaskan tahap perkhidmatan yang pengguna berhak, katanya.

"Kami amat berharap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor menyelesaikan apa-apa isu yang akan berlaku dengan segera demi kepentingan pengguna," kata Rozali.

Air Selangor ditubuhkan untuk mengambil alih operasi dan penyelenggaraan  loji rawatan air dan perkhidmatan bekalan air yang sebelum ini diuruskan oleh empat syarikat.

Pada 11 November 2014, Air Selangor telah menandatangani perjanjian untuk membeli anak syarikat milik penuh PNHB, Puncak Niaga Sdn Bhd dan 70 peratus pegangan ekuitinya dalam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), bernilai RM1.55 bilion.

Artikel Lain