suria

Mat Sabu, Pemimpin PAS Kalah Pemilihan Bakal Diraikan

PETALING JAYA: Kumpulan pro-Pakatan Rakyat dalam PAS yang tewas semasa pemilihan parti itu minggu lalu bakal diraikan dalam sebuah majlis makan malam secara besar-besaran.

Penganjuran atas nama solidariti itu bakal 'meraikan' kekalahan Mohamad Sabu yang tewas dalam pemilih jawatan timbalan presiden PAS serta Datuk Mahfuz Omar yang gagal meraih kedudukan dalam senarai tiga jawatan naib presiden.

Turut bakal diraikan ialah beberapa pemimpin PAS yang tewas bagi pemilihan jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat termasuk Khalid Samad.

Sehubungan itu ahli PAS yang digantung keahlian, Saari Sungib yang mengetuai kumpulan dikenali sebagai 'Otai Reformis' akan menganjurkan sidang media pada Rabu berhubung majlis tersebut.

Turut dikatakan akan menyertai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang pada sidang media itu ialah Naib Presiden PKR, Tian Chua dan bekas Adun DAP Selangor, Ronnie Liu.

Pengendali kumpulan berkenaan, Abdul Razak Ismail ketika dihubungi mStar Online mengesahkan mengenai perancangan penganjuran program makan malam itu.

Pemilihan kepimpinan baharu PAS pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 minggu lalu menyaksikan penguasaan kumpulan pro-ulama dalam hampir setiap jawatan termasuk di peringkat Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS.

Bagi kepimpinan peringkat pusat, antara pemimpin dari kumpulan profesional yang dilabel pro-Pakatan Rakyat tewas dalam pemilihan ialah Datuk Husam Musa, Salahuddin Ayub, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, Dr Dzulkefly Ahmad, Hanipa Maidin serta Dr Siti Mariah Mahmud.

Mohamad Sabu, Saari Sungib, PAS, Muktamar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain