suria

Jenazah Mangsa Pemerdagangan Manusia Akan Dikebumi Di Pokok Sena

JERLUN: Mayat mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang dipindahkan dari Wang Kelian ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk tujuan bedah siasat akan dikebumikan di Pokok Sena setelah segala urusan selesai, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Mukhriz berkata, satu kawasan tanah perkuburan baharu telah disediakan di Pokok Sena dan kesemua jenazah etnik Rohingya itu akan dikebumikan di dalam satu liang lahad.

Menurutnya, setakat ini, beliau difahamkan terdapat 35 jenazah berada di HSB yang telah dibedah siasat, namun bila ia akan dikebumikan bergantung kepada keputusan daripada hospital sendiri.

"Setakat ini 35, akan datang kami dengar ada lebih 100, mungkin dikebumi di Pokok Sena juga, kalau kesemuanya dipindahkan ke HSB, atau ada permintaan supaya mereka di kebumikan di sini, kerana diyakini kesemuanya beragama Islam," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pejabat Mufti bersama Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) akan menguruskan kesemua jenazah itu mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan memandangkan ada daripada jenazah itu dalam keadaan tidak sempurna.

"Ini permintaan daripada kerajaan persekutuan...jenazah yang ada di HSB sekarang kami akan urus...yang 35 ini akan diuruskan dulu," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.-- Bernama

Artikel Lain