suria

Isu Rohingya Perlu Diselesai Di Peringkat Asean - PM

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata isu Rohingya perlu diselesaikan di peringkat ASEAN dan dibantu oleh negara ketiga dan badan antarabangsa.

Beliau berkata amat penting bagi semua negara dalam konteks ASEAN untuk mencari satu penyelesaian bersama.

Katanya negara lain seperti negara ketiga perlu memainkan peranan untuk membantu membanteras permasalahan itu di samping menghulurkan bantuan kemanusiaan.

Perdana menteri juga berharap badan-badan seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memainkan peranan masing-masing supaya masalah kemanusiaan yang begitu serius itu dapat diatasi.

"Baru-baru ini, kita telah dikejutkan oleh penemuan kubur-kubur besar di kem pemerdagangan manusia di sempadan Perlis-Thailand di mana amat jelas bahawa mereka telah didera dan dizalimi dengan begitu kejam sekali.

"Di samping itu, kita juga turut menerima pelarian kaum Rohingya. Akibat itu, Malaysia, Thailand dan Indonesia telah menerima kesan daripada tragedi kemanusiaan ini.

"Demi kedaulatan negara, kita tidak boleh membenarkan orang luar masuk ke sempadan kita dengan begitu mudah," katanya dalam blog NajibRazak.com.

Bagaimanapun Najib berkata atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan setelah melihat keadaan pelarian Rohingya, lebih-lebih lagi kanak-kanak yang merana akibat kelaparan, kehausan dan keletihan, beliau telah mengarahkan operasi menyelamat dilakukan di perairan negara.

Artikel Lain