suria

Esscom Nafi Guna Kekerasan Dalam Operasi Buru Imigran Di Esszone

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menafikan dakwaan bahawa ia menggunakan kekerasan semasa operasi bersepadu besar-besaran yang berlangsung sekarang untuk membanteras pendatang haram di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Komander Esszone DCP Datuk Abd Rashid Harun berkata pasukan keselamatan di bawah Esscom tidak meminggir, dijadikan mangsa atau memberi layanan berbeza-beza kepada pemilik perniagaan atau pendatang haram ketika menjalankan tugas dan tanggungjawab.

"Kami tertakluk kepada prosedur standard seperti yang diperuntukkan  undang-undang. Kami tidak bertindak sendirian semasa operasi tetapi bersama-sama dengan agensi-agensi penguat kuasa lain seperti imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi kerajaan negeri berkaitan.

"Mustahil untuk anggota atau pegawai agensi atau Esscom menggunakan kekerasan atau melampau tanpa dilapor atau diketahui agensi lain," katanya dalam kenyataan Khamis.

Abd Rashid mengulas kenyataan Presiden Dewan Perniagaan Cina Tawau Lo Su Fui semalam yang mendakwa petugas Esscom bertindak tidak profesional dan seperti samseng semasa operasi memburu pendatang haram di Esszone.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak yang tidak berpuas hati termasuk pengendali perniagaan membuat laporan polis atau kepada badan bebas seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Mereka patut tampil dengan bukti kepada pihak berkuasa berkaitan supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dan jika tidak, ia hanya sekadar dakwaan palsu," kata Abd Rashid.

Beliau berkata "tatkala Esscom menggunakan pendekatan mesra perniagaan dalam mengatasi masalah pendatang haram di Esszone, ia tidak akan bertolak-ansur berhubung perkara yang berkaitan dengan keselamatan negara".

Beliau berkata satu daripada objektif teras Esscom ialah menjamin keselamatan untuk kegiatan sosioekonomi di Esszone.

"Ia bukan meliputi komuniti perniagaan sahaja tetapi semua pihak. Operasi keselamatan kami bersama-sama agensi penguat kuasa kerajaan tempatan secara profesional dan mesra rakyat.

"Jika ada pencabulan dan salah guna kuasa oleh Esscom mengapa tidak ada sebarang laporan dibuat oleh penduduk di luar Esscom, mesti ada satu suasana ketakutan, jenayah dan penyeludupan yang berleluasa, lebih banyak kemasukan pendatang haram, lebih banyak insiden menculik untuk tebusan dan akhir sekali pencerobohan kedua pengganas Sulu," katanya.

Abd Rashid berkata, mereka perlu tampil dengan cadangan konstruktif dan bekerjasama dengan Esscom dan bukannya mencemarkan imej baik Esscom.

Katanya Esscom komited melaksanakan tugas yang diamanahkan bagi membendung pendatang haram di Esszone seperti yang dinyatakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang haram di Sabah.

"Kami sudah melancarkan operasi di Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Tawau dan Kudat dan ia dijalankan secara berterusan sehingga masalah ini selesai," jelasnya.

Abd Rashid berkata langkah drastik adalah tindakan susulan terhadap penemuan RCI mengenai pendatang haram di Sabah, dan seperti yang diarah oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Artikel Lain