suria

OIC Gerakkan Usaha Cari Pelarian Rohingya

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggerakkan usaha untuk menguruskan aspek politik dan kemanusiaan membabitkanpelarian Rohingya sebagai sebahagian daripada kempen berterusannya untuk menyokong minoriti Islam yang ditindas di Myanmar.

Sejajar dengan usaha ini, Setiausaha Agung OIC Iyad Ameen Madani, mengarahkan pejabat OIC di Geneva dan New York supaya menyelaraskan kerjasama aktif dengan agensi serta pertubuhan antarabangsa yang berkaitan untuk menyumbang kepada ikhtiar kemanusiaan itu. 

Isu itu akan turut menjadi agenda utama mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar di Kuwait pada Rabu, dengan pelan tindakan bersama akan dibincangkan untuk diterima pakai, kata pertubuhan berpusat di Jeddah itu menerusi kenyataan.

Sementara itu, Duta Khas OIC ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar, bergiat aktif di lapangan selain bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) setempat dan menghubungi pegawai OIC dalam kempen untuk membantu Rohingya, yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai sebuah daripada minoriti paling teruk ditindas di dunia.

OIC turut berhubung dengan rangkaian kemanusiaan NGO untuk mewujudkan pelan tindakan menyeluruh bagi menangani isu itu di samping membuat persediaan untuk melancarkan kempen kesedaran media dan kutipan derma di kesemua 57 negara anggotanya.

OIC memperjelaskan bahawa krisis yang berlaku sekarang sebahagian besarnya berpunca daripada situasi dahsyat dihadapi kaum Rohingya, yang mengakibatkan kira-kira 100,000 daripada mereka melarikan diri dari negeri Rakhine dengan menaiki bot ekoran penindasan, ketakutan, penderaan dan pembunuhan sejak 2012.

Pertubuhan itu menegaskan bahawa komuniti antarabangsa mesti mendesak Kerajaan Myanmar supaya berhenti mencabuli hak asasi manusia kaum Rohingya dan mengiktiraf mereka sebagai warganegara sepenuhnya, dalam usaha menyeluruh untuk menangani keadaan yang tidak dapat dipertahankan itu.

Menurut OIC, pertubuhan itu secara aktif menyokong Rohingya untuk mendapatkan semula kewarganegaraan yang dibatalkan pada 1982, dan telah membantu dalam mengasaskan Arakan Rohingya Union, sebuah entiti mewakili Rohingya di seluruh dunia, bagi mendapatkan sokongan komuniti antarabangsa selain meningkatkan kesedaran terhadap nasib mereka. 

Ia turut menerima pakai pelan tindakan untuk memujuk kerajaan Myanmar supaya "mengambil tindakan" terhadap mereka yang menyebarkan kebencian dan memupuk keganasan terhadap Rohingya, selain mengadakan dialog antara komuniti dan antara agama.

OIC turut menghantar misi mencari maklumat ke Myanmar dan mencadangkan kepada kerajaan supaya membuka sebuah pejabat kemanusiaan OIC tetapi ditolak oleh pihak berkuasa Myanmar.

Malaysia dan Indonesia bersetuju menyediakan tempat perlindungan sementarabagi 7,000 pelarian Rohingya dan Bangladesh serta migran yang hanyut di lautselama setahun.

OIC, Rohingya

Artikel Lain