suria

Zahid Sahkan Penemuan Kubur Beramai-Ramai Di Padang Besar

KAJANG: Kementerian Dalam Negeri mengesahkan mengenai pembongkaran mengejutkan berhubung penemuan kubur beramai-ramai yang memuatkan hampir 17 mayat di kem tahanan penyeludupan di Padang Besar.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kem berkenaan berkemungkinan wujud di kawasan itu sejak sekian lama.

"Mungkin lebih lima tahun. Saya terkejut!" katanya.

Kubur dan kem di Wang Kelian dan beberapa kampung kecil di sepanjang bandar sempadan Thailand di Padang Besar ditemui oleh pegawai VAT69 dan Pasukan Gerakan Am (PGA) minggu lepas.

Bagaimanapun kem berkenaan sudah ditinggalkan apabila ia ditemui pihak berkuasa.

"Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara berada di sana sekarang untuk proses pengecaman dan pengesahan.

"Satu kubur mungkin mempunyai tiga, empat badan. Tetapi kita tidak tahu berapa banyak jumlahnya. Kami mungkin akan mencari lagi mayat," kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata orang ramai akan diberikan maklumat terkini berhubung perkara itu selepas disahkan.

Selain itu Ahmad Zahid berkata penemuan itu menimbulkan sedikit keraguan berhubung penglibatan rakyat Malaysia.

"Malaysia sebagai sebuah kerajaan pastinya tidak terlibat. Tetapi rakyat Malaysia, ya! Saya sedar itu sebagai fakta.

"Tetapi seperti yang anda tahu, di Mexico dan Amerika Syarikat, mereka mempunyai lebih ramai anggota keselamatan di sempadan, tetapi perdagangan manusia masih berlaku di sana," katanya kepada pemberita di Penjara Kajang pada Ahad.

Artikel Lain