suria

Sabah Minta Tiket Kapal Terbang Dikecualikan GST

Masidi Manjun

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat diminta mempertimbangkan supaya tiket kapal terbang dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, saranan itu disampaikan berikutan kemerosotan kadar pelancongan negeri itu akibat kejadian jenayah termasuk penculikan dan tragedi membabitkan industri penerbangan negara tahun lalu.

Beliau berkata, ketika ini, sektor pelancongan Sabah menerima hampir 100 peratus pelancong luar negara.

"Cukai enam peratus yang dikenakan ketika ini memberi kesan kepada pelancong yang ingin datang ke Sabah.

"Boleh dikatakan 98 peratus pelancong negeri itu adalah pelancong asing dan pengecualian cukai itu tentu dapat membantu memulihkan industri pelancongan Sabah yang mengalami penurunan akibat beberapa insiden tahun lalu iaitu daripada 3.4 juta pada 2013 kepada 3.2 juta tahun lalu," katanya pada majlis pelancaran manual Navigasi GST Untuk Industri Pelancongan di sini, Jumaat.

Tambah beliau, Sabah kini dalam proses memulihkan keyakinan pelancong terutama jaminan terhadap keselamatan mereka sepanjang berada di negeri itu.

Katanya, maklumat terkini secara jelas tentang situasi semasa sentiasa dikemas kini di laman web rasmi pelancongan Sabah.

"Kita sentiasa berterus terang dengan apa yang berlaku supaya pelancong mendapat maklumat menerusi sumber sahih," katanya.


Sabah, Industri Pelancongan

Artikel Lain