suria

Rakyat Tunjang, Keutamaan RMK11 - PM

KUALA LUMPUR: Rakyat menjadi tunjang serta keutamaan dalam semua usaha pembangunan negara yang digarap dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi memacu negara dalam tempoh lima tahun terakhir menuju status negara maju pada 2020, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata RMK11 memberi tumpuan terhadap penyampaian hasil berimpak tinggi yang cepat kepada ekonomi modal dan ekonomi rakyat dengan kos berpatutan.

"Bagi mengekalkan momentum pertumbuhan dan memastikan rakyat terus menikmati kemakmuran, kita perlu mara ke hadapan dengan keazaman lebih tinggi dan mengambil langkah berani demi manfaat rakyat dalam jangka panjang," katanya dalam prakata dokumen RMK11 bertemakan 'Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat' yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ini mengambil persekitaran global yang lebih mencabar dengan jangkaan ekonomi global yang kurang stabil dan menentu akibat kejatuhan harga minyak, naik turun nilai mata wang serta risiko geopolitik.

Dalam tempoh rancangan lima tahun dari 2016 hingga 2020, Najib berkata produktiviti dan inovasi akan menjadi tonggak utama sebagai kesinambungan kepada rancangan pembangunan terdahulu untuk mencapai hasil yang dihasratkan termasuk menjana kekayaan melalui inovasi.

"Kedua-dua lonjakan itu akan menjadi asas kukuh kepada pembangunan ekonomi mampan, menjana peluang baharu dalam ekonomi dan memastikan kesejahteraan serta kemakmuran rakyat berterusan," katanya.

Mengimbas tempoh lima tahun lalu, Najib berkata ekonomi negara telah mencapai prestasi sangat cemerlang meskipun berdepan pelbagai cabaran ekoran kelembapan ekonomi global.

Beliau berkata Malaysia tetap berupaya berada dalam kalangan negara yang mencatat kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di rantau ini.

"Kualiti hidup rakyat juga bertambah baik berikutan peningkatan pendapatan per kapita dan pendapatan purata isi rumah," katanya.

Perdana menteri berkata penambahbaikan itu hasil pelbagai inisiatif pemantapan ekonomi dan tadbir urus antaranya menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang disokong Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Berbaki lima cuma tahun lagi sebelum 2020, Najib menyifatkan RMK11 suatu langkah kritikal dalam perjalanan menjadi negara maju yang inklusif dan mampan.

Justeru, katanya sokongan, komitmen serta dedikasi setiap rakyat amat penting dalam memastikan kejayaan RMK11.

"Saya percaya bahawa kegemilangan negara kita bergantung kepada semangat kental, perkongsian nilai dan impian serta bakat besar rakyat Malaysia," katanya, turut menyeru semua rakyat bersamanya mengorak langkah dalam pusingan akhir perjalanan ke arah negara maju.

rakyat, RMK11, Najib Tun Razak

Artikel Lain