suria

MRSM Tanggung Kos Rawat Pelajar Dirotan Guru, Mara Mula Siasat

Ahmad Rizal Samaluddin (kiri) mahu tindakan dikenakan terhadap guru terlibat yang menyebabkan kecederaan mata kiri Danish Aiman (kanan).

LENGGONG: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak akan menanggung kos rawatan perubatan seorang pelajarnya yang didakwa hampir buta akibat di rotan guru, Selasa lepas.

Guru terbabit dilapor merotan Danish Aiman Ahmad Rizal, 13, yang mengenai bahagian mukanya sehingga menyebabkan cermin matanya pecah dan serpihannya memasuki matanya.

Pelajar itu dirotan kerana dikatakan tidak menyangkut baju di dalam almari yang disediakan dalam asrama.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata kejadian sedemikian tidak sepatutnya berlaku sekiranya guru tersebut besikap lebih berhemah.

"Bagaimanapun kes telah berlaku dan pelajar itu diberikan rawatan di hospital tanpa memerlukan rawatan doktor pakar," katanya di sini, Khamis.

Muhammad Amin berkata, ibu bapa pelajar tersebut telah membuat laporan polis dan guru terbabit telah disiasat.

"Ibu bapa pelajar itu juga telah berbincang dengan pihak sekolah dan guru terbabit. Sekiranya ada kes yang melanggar etika dari segi profesionalisme, ibu bapa berkenaan boleh mengambil tindakan," katanya.

Sementara itu, Majlis Amanah Rakyat (Mara) sedang menyiasat secara terperinci kejadian seorang pelajar MRSM Pasir Salah yang cedera dirotan guru.

Kenyataan yang dikeluarkan Mara menyebut, siasatan kejadian itu sudah mula dijalankan pihaknya.

"Tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peraturan yang dikuatkuasa jika didapati bersalah," menurut kenyataan agensi itu, petang Khamis.

Artikel Lain