suria

UIM Lancar Buku Kehakiman Islam & Mahkamah Syariah

Abdul Monir menunjukkan buku hasil karyanya "Kehakiman Islam dan Mahkamah Syariah" selepas majlis pelancaran buku itu yang disempurnakan Tengku Abdullah di Universiti Islam Malaysia pada Selasa. - fotoBERNAMA

CYBERJAYA: Universiti Islam Malaysia (UIM) melancarkan buku pertama seumpamanya di negara ini yang menggabungkan konsep kehakiman dan pentadbiran Mahkamah Syariah.

Dihasilkan Naib Presiden UIM, Datuk Abdul Monir Yaacob, naskhah berjudul 'Kehakiman Islam dan Mahkamah Syariah' dibahagikan kepada dua bahagian.

"Ini merupakan buku pertama di Malaysia yang menceritakan mengenai konsep kehakiman serta sejarah perkembangan di peringkat permulaan Islam menerusi bahagian pertama di dalam buku ini.

"Bahagian kedua pula menerapkan dan menghuraikan pentadbiran keadilan di Mahkamah Syariah, serta pelaksanaan undang-undang Islam dalam Mahkamah Syariah dan Sivil," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran buku berkenaan, di sini pada Selasa.

Pelancaran buku itu disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.


Tengku Abdullah (dua kiri) menyerahkan replika cek sumbangan kepada UIM. -fotoBERNAMA.

Pada majlis sama Tengku Abdullah yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang menyerahkan replika cek RM200,000 sumbangan kepada UIM yang diwakili Presidennya Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Menurut Abdul Monir lagi, kelebihan buku itu adalah ia boleh dijadikan sumber serta panduan yang mendalam terhadap kehakiman Islam dan Mahkamah Syariah.

Menceritakan dengan lebih lanjut, beliau memberitahu hasrat untuk memasuki pasaran luar dengan menghasilkan buku yang sama  menggunakan bahasa lain.

"Saya mempunyai sasaran iaitu ingin memasarkan buku ilmiah ini ke serata dunia kerana konsep yang diterapkan di dalam buku ini dapat diguna dan dijadikan panduan oleh semua golongan di seluruh dunia," jelasnya mengenai buku terbitan UIM Press itu.

Sementara itu, sebanyak 600 naskhah Kehakiman Islam dan Mahkamah Syariah akan dijual di seluruh negara pada harga RM150 (kulit keras) dan RM75 (kulit lembut).

Artikel Berikut

Artikel Lain