suria

Ambil Tindakan Tambahan Tangani Penculikan Sabah - Ronald

SANDAKAN: Kerajaan diminta mengambil tindakan tambahan dalam menangani insiden penculikan oleh penjenayah rentas sempadan berikutan kejadian terbaharu di sebuah restoran makanan laut di sini, Khamis malam.

Anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ini kerana insiden penculikan terbaharu itu menunjukkan tindakan yang diambil sebelum ini tidak mencukupi dan perlu dipertingkatkan.

Beliau berkata insiden itu berlaku di luar kawasan yang sering terjadi  penculikan yang dilakukan oleh penceroboh dari negara jiran.

"Tindakan itu tidak hanya kepada meningkatkan jumlah anggota pasukan keselamatan tetapi juga penambahan aset yang sesuai bagi meningkatkan kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) khususnya di kawasan perairan," katanya di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada Bernama, bagi mengulas kejadian empat lelaki  bersenjata api melarikan dua orang dari restoran makanan itu yang terletak di Pasir Putih dekat sini, semalam.

Ronald yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat turut kesal dengan insiden tersebut sehingga menyebabkan dua mangsa dibawa lari oleh penjenayah rentas sempadan itu.

Katanya insiden itu berlaku di kawasan berhampiran bandar Sandakan dan keadaan itu sudah tentu menimbulkan kerisauan penduduk di daerah itu serta daerah berhampiran iaitu Beluran dan Kinabatangan.

Beliau mahu penduduk di ketiga-tiga daerah itu terus memberi sokongan dan kerjasama kepada pihak keselamatan khususnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dalam meningkat serta memperkukuhkan kawalan keselamatan.

Ronald yakin pihak keselamatan mampu menangani masalah tersebut dengan kerjasama semua pihak terutamanya daripada orang ramai.

Penculikan Sabah, Ronald Kiandee

Artikel Lain