suria

Kontraktor Didakwa Bunuh Adik Kandung

SHAH ALAM: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas tuduhan membunuh adik kandungnya di hadapan rumah mangsa di Kampung Jawa di sini awal bulan ini.

M. Nageswaran, 39, dari Jalan Kota Raja, Klang, didakwa membunuh Gunalan, 37, di No 16C, Lot 1592, Batu 3 1/2, Kampung Jawa, kira-kira 5.30 petang, 5 Mei lepas.

Tertuduh yang bekerja sebagai sub-kontraktor servis pendingin hawa didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Nageswaran mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang ditangkap pada 9 Mei lepas.

Majistret Ellyana Razali menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Sesyen di sini, Nageswaran menghadapi satu lagi pertuduhan cuba membunuh isteri Gunalan, V.Malliga, 39, dengan menikamnya menggunakan sebilah parang, antara 5.30 petang hingga 5.45 petang, di tempat dan tarikh sama.

Tertuduh yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozina Ayob tidak membenarkan Nageswaran diikat jamin dan menetapkan tarikh sama iaitu 15 Jun untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip dan Salwa Asmary Abdul Rahim sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Bunuh, Kontraktor

Artikel Sebelum

Artikel Lain