suria

P Pinang Cadang Kedah Mohon Peruntukkan Kerajaan Persekutuan

GEORGE TOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang mencadangkan Kedah mendapatkan peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk aktiviti perlindungan kawasan tadahan air di Ulu Muda, Kedah, bukannya mengutip bayaran daripada Pulau Pinang.

Wong Hon Wai (DAP-Air Itam) berkata beliau menyokong perlindungan tanah hutan simpan Ulu Muda di Kedah sebagai tadahan air kerana ia akan memberi manfaat kepada negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Ia juga akan menyokong aktiviti pertanian dan bekalan air kepada ketiga-tiga negeri ini, katanya.

Namun beliau mencadangkan kerajaan persekutuan perlu memberi sumbangan dengan memanfaatkan kutipan cukai pendapatan dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang diperoleh.

"Sawah padi di negeri Kedah membekal nasi kepada kita, kepada seluruh persekutuan. Maka saya berpendapat (kerajaan) persekutuan perlu menyumbang kepada perlindungan Hutan Simpan Ulu Muda sebagai tadahan air.

"Saya percaya kerajaan negeri Perlis dan kerajaan negeri Pulau Pinang akan menyokong cadangan itu," katanya ketika membahas ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN),  pada Khamis.

Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang kemudian bangun berkata tidak salah untuk kerajaan negeri Kedah meminta bayaran daripada Pulau Pinang bagi menyelenggara dan mengekal kelangsungan bekalan air.

"Pada satu ketika dulu Pulau Pinang pernah membayar kepada Kedah untuk melepaskan air. Kita pernah minta Kedah melepaskan air dan kita bayar. Kalau Kedah memerlukan kos untuk menyelenggara, tak salah saya rasa.

"Perkara ini boleh dibincangkan antara Ketua Menteri (Lim Guan Eng) dan Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir)," katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap bekalan air di Pulau Pinang yang semakin berkurangan selain mengharapkan sumber air dari negeri lain.

"Kita juga mengalami masalah air. Hampir kebanyakan spesies ikan mati kerana pencemaran, racun-racun yang diguna. Kita mengabaikan tugas kita untuk menjaga air. Cuba Air Itam (Wong Hon Lai) melawat beberapa kawasan, semakin hari air semakin cetek. Kita kena ada sikap keprihatinan selain mengharap air negeri lain," katanya.

Kedah, Ulu Muda, DAP

Artikel Lain