suria

Pelan Tindakan Lahirkan 1,000 Usahawan Sosial Di Malaysia - PM

Najib berselfie dengan peserta pelan tindakan usahawan sosial MaGIC pada Rabu. - foto MOHD SAHAR MISNI/The Star

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu melancarkan pelan tindakan usahawan sosial Malaysia dengan harapan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 1,000 usahawan sosial yang berjaya di negara ini dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata pelan tindakan itu akan memberi tumpuan kepada tiga bidang iaitu usahawan sosial, ekosistem dan institusi.

Katanya pelan tindakan itu, yang secara radikal akan mengubah sektor ini,  kini dikenal pasti mempunyai kira-kira 100 usahawan sosial yang berjaya.
 
Usahawan sosial adalah perniagaan yang berusaha untuk menangani masalah sosial yang kronik, menambah baik masyarakat, peluang hidup rakyat atau perlindungan alam sekitar dalam rangka model perniagaan untuk keuntungan, katanya.
 
"Dalam erti kata lain, mereka membuat laba daripada menjual barangan dan perkhidmatan dalam pasaran terbuka, tetapi mereka melabur semula keuntungan mereka kembali ke dalam perniagaan atau masyarakat tempatan," katanya pada majlis pelancaran pelan tindakan itu di Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC) di sini.

Di bawah keusahawanan sosial, Najib berkata usaha melahirkan lebih banyak usahawan sosial yang berjaya adalah penting supaya mereka menjadi model inspirasi untuk perniagaan dan badan amal di seluruh negara.

Fokus kedua akan diberikan kepada usaha mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi menyokong usaha memupuk perkongsian sosial dan awam, katanya.
 
Di bawah institusi itu, pelan tindakan itu akan memberi penekanan kepada perubahan sistematik yang ada supaya rangka kerja pentadbiran, cukai dan peraturan dapat memastikan pertumbuhan yang mapan dan konsisten bagi sektor itu dalam jangka panjang, katanya.

Najib berkata kejayaan pelaksanaan pelan tindakan itu akan menyaksikan sektor sosial yang lebih bersifat keusahawanan dan berdikari, sektor awam yang bekerjasama dan akan menyampaikan perkhidmatan lebih inovatif, kos berkesan dan lebih baik.

Di samping itu, beliau berkata keusahawanan sosial adalah bahagian penting daripada fokus kerajaan terhadap ekonomi rakyat, di mana pertumbuhan adalah mapan dan inklusif, dan hasil kemakmuran negara yang dikongsi bersama.

Pada majlis yang sama, Najib turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 44 sukarelawan termasuk 26 sukarelawan antarabangsa dari 22 negara, yang terlibat kurang daripada lima bulan di bawah Program Sukarelawan untuk Profesional Antarabangsa (VIP).

Beliau berkata program VIP yang dilancarkan pada Januari untuk sukarelawan yang berjaya menyumbang dalam projek-projek membantu gelandangan, belia yang kurang bernasib baik, kanak-kanak berisiko, membantu memperkasakan wanita dan dalam pendidikan dan kesenian.

"Ia benar-benar melakukan perbezaan yang nyata dan telah mencipta momentum  bagi kerja yang benar-benar memberi inspirasi untuk diteruskan. Saya harap anda juga dapat melihat sesuatu di negara kami yang indah ini sepanjang anda berada di sini," katanya.

Najib juga menyatakan hasratnya untuk Malaysia menjadi juara global kesukarelawanan yang pakar dan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab bagi aktiviti dan perkongsian VIP.

Beliau juga mencadangkan kepada Kementerian Kewangan untuk meneruskan dengan inisiatif VIP dan mula bekerja bagi fasa seterusnya bagi membolehkan lebih ramai masyarakat dapat menikmati faedahnya.
Najib Tun Razak, usahawan sosial

Artikel Lain