suria

Peralatan Jurugambar Polis Bernilai RM100,000 Musnah Dalam Kebakaran Di Melaka

Chuah Ghee Lye

ALOR GAJAH: Peralatan yang digunakan jurugambar polis termasuk kamera dan komputer dianggarkan bernilai RM100,000 di Balai Polis Trafik Alor Gajah di sini musnah dalam kebakaran Khamis malam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata kejadian kira-kira 11 malam itu tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan kepada anggota polis di balai berkenaan kerana tiada anggota bertugas dalam bilik berkenaan ketika kejadian.

"Kejadiaan disedari anggota yang bertugas di kaunter pertanyaan setelah terhidu bau asap, mereka kemudian cuba mencari punca asap berkenaan dan melihat asap keluar dari bawah pintu pejabat jurugambar.

"Mereka cuba memadamkan api menggunakan alat pemadam kebakaran namun api berkenaan merebak dengan cepat" katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di sini, Jumaat.

Katanya semua fail baharu melibatkan gambar kemalangan jalan raya tidak rosak kerana sebelum kejadian semua fail tersebut telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Chuah berkata siasatan awal yang dijalankan unit forensik bomba mendapati kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Beliau berkata buat sementara waktu, semua anggota pejabat jurugambar berkenaan akan ditempatkan di sebuah bilik lain di bangunan balai berkenaan bagi menjalankan tugas seperti biasa.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah R. Bajiyen berkata pihaknya menerima panggilan daripada pegawai polis di balai itu pada pukul 11.06 malam dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.

"Api dalam keadaan marak ketika bomba sampai di lokasi namun kita berjaya mengawalnya pada 11.27 malam sebelum padam sepenuhnya 12 minit kemudian," katanya.

Beliau berkata operasi berkenaan melibatkan empat jentera bomba termasuk satu unit Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan dari Balai Alor Gajah dan Tangga Batu dengan kekuatan anggota seramai 20 orang.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Lain