suria

Bayi Perempuan 9 Bulan Maut Tercampak Keluar Dari MPV

JOHOR BAHARU: Seorang bayi perempuan berumur 9 bulan maut selepas tercampak keluar daripada kenderaan dalam satu kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 22, Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran persimpangan keluar Senai, dekat sini, Selasa.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Razak Md Said berkata pada kejadian pada pukul enam pagi itu, bayi itu yang berada di pangkuan ibunya yang duduk disebelah bapanya di tempat duduk hadapan, tercampak keluar ketika kejadian.

Beliau berkata bapa bayi itu, yang memandu Proton Exora, gagal mengawal kenderaan yang dipandunya di lorong kanan, lalu masuk ke lorong kiri dan melanggar belakang sebuah lori treler.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) itu kemudiannya terbabas ke tepi jalan sebelah kiri, melanggar rel penghadang jalan lalu terbalik beberapa kali, kata beliau.

Motosikal yang berada di belakang Proton Exora itu, cuba mengelak kedua-dua kenderaan di hadapannya dan terbabas ke rel penghadang jalan. -

Bagaimanapun, ibu bapa bayi, pemandu treler dan penunggang motosikal mendapat kecederaan ringan, kata Razak. 

Identiti kesemua mangsa kemalangan bagaimanapun tidak didedahkan beliau.

"Mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat," kata beliau.

Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

bayi tercampak keluar

Artikel Lain