suria

Nurul Izzah Akui Isu Hudud Beri Cabaran Di Permatang Pauh

BUKIT MERTAJAM: Isu pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan PAS terus menjadi kebimbangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam mempertahankan kemenangan di kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Malah Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar mengakui parti itu berhadapan laluan sukar khususnya ketika berhadapan dengan ahli dan penyokong PAS.

"Ini bukan suasana yang mudah buat Pakatan Rakyat…kita terima.

"Terutamanya sejak jawatankuasa mengenai hudud diwujudkan sejak lebih setahun lalu, banyak perancangan bagi memecah-belahkan (Pakatan Rakyat) dibuat sejak awal," katanya kepada mStar Online di Tanah Liat di sini, Ahad.

Beliau diminta mengulas mengenai kemungkinan PKR berhadapan protes menerusi undi rosak di kalangan pengundi PAS yang kecewa dengan pendirian PKR berhubung hudud.

Malah isu hudud menjadi polemik di kalangan PAS dan PKR apabila  kepimpinan Pemuda PAS Pulau Pinang dan PAS Kawasan Permatang Pauh mengambil keputusan untuk memboikot kempen PKR dalam PRK Permatang Pauh.

Bagaimanapun kedua-dua entiti berkenaan akhirnya mengambil keputusan untuk membuat 'pusingan U' dan menyokong pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Pakatan Rakyat.

Mengulas lanjut Izzah yang juga Naib Presiden PKR berkata, jentera PKR digesa supaya memastikan jumlah keluar mengundi pada 7 Mei ini adalah tinggi demi kemenangan Pakatan Rakyat.

"Isu utama ialah memastikan semua pengundi keluar mengundi. Jumlah keluar mengundi adalah elemen terpenting, kemungkinan hari bekerja akan jatuh sedikit.

"Maka kita laksanakan tugasan untuk mendapatkan undi sebanyak mungkin daripada semua kumpulan,” katanya.

Hudud, Permatang Pauh

Artikel Lain