suria

GST: Pegawai Kastam Menyamar Jadi Pembeli Periksa Peniaga Ingkar

PETALING JAYA: Tempoh bertenang bagi pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan kini berakhir apabila kira-kira 3,000 pegawai Jabatan Kastam akan melakukan penyamaran bermula Jumaat untuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang melanggar peraturan.

"Sekarang merupakan masa untuk menguatkuasakan undang-undang, tempoh untuk memberi teguran sudah berakhir," kata Pengarah Bahagian GST Kastam, Datuk Subromaniam Tholasy kepada The Star.

Beliau berkata, pegawai kastam akan digerakkan ke seluruh negara untuk memeriksa peniaga yang ingkar selepas sebulan GST diperkenalkan.

"Sekumpulan 'pembeli misteri' ini akan turun padang untuk melakukan pemantauan. Kita menerima aduan mengenai peniaga yang bertanyakan pelanggan sekiranya mereka mahu invois dikeluarkan (sedangkan adalah satu kewajipan untuk mengeluarkan invois).

"Segelintir peniaga enggan untuk mengeluarkan resit apabila ditanya pelanggan," kata Subromaniam pada Khamis.

Antara aduan lain yang dilaporkan termasuk perniagaan tidak didaftarkan bagi pelaksanaan GST dan tidak mengeluarkan invois.

Subromaniam berkata, sekiranya peniaga melanggar peraturan, 'pembeli misteri' ini akan melakukan pemeriksaan dengan membuat pembelian dan menyimpan bukti untuk pendakwaan," tambahnya.

Pada Khamis, Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, penguatkuasaan akan dijalankan untuk mempertingkatkan tahap pematuhan peraturan di kalangan peniaga. Operasi berkenaan bermula Jumaat (1 Mei).

Artikel Lain