suria

Penganjur Dinasihat Berhimpun Di Padang Merbok Atau Berdepan Tindakan - Polis

Datuk Law Hong Soon
KUALA LUMPUR: Polis masih belum menerima maklum balas daripada penganjur yang merancang mengadakan himpunan protes Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) walaupun telah diberikan lampu hijau untuk mengadakannya di Padang Merbok.

"Setakat ini, mereka tidak memberi respons. Kita telah menasihati mereka untuk mengadakan perhimpunan di Padang Merbok tetapi mereka mahu mengadakannya di beberapa tempat lain," kata  Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon.

"Jika mereka tidak mengendahkan nasihat polis, mereka perlu menerima hakikat bahawa kita akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Ketika dihubungi, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke berkata, pihak penganjur akan mengadakan perhimpunan di tempat asal seperti yang dirancang.

Dilaporkan bahawa penganjur akan meneruskan bantahan di Dataran Merdeka, walaupun perhimpunan itu dijangka akan dianggap sebagai tidak sah.

Laporan sebelum ini juga menyebut bahawa Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shahrin berkata penganjur tidak akan mengemukakan notis 10 hari untuk mengadakan perhimpunan tersebut seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman, tetapi berharap mendapat kerjasama polis.

Beliau berkata penganjur telah menemui polis di ibu pejabat polis Dang Wangi dan berjanji untuk mematuhi perintah pihak berkuasa kerana mereka merancang untuk mengadakan perhimpunan di beberapa tempat di pusat bandar sebelum memenuhi Dataran Merdeka.

Perhimpunan itu akan bermula pada 1 tengah hari di beberapa tempat, termasuk Jalan Sultan, Masjid Negara, Maybank, Sogo dan Pasar Seni.

Penunjuk perasaan kemudian akan berarak ke arah Dataran Merdeka, kata Badrul.

Artikel Lain