suria

PRK Rompin: Hujan Tidak Halang Perjalanan Pengundian Awal

ROMPIN: Hujan di sekitar Parlimen Rompin sejak awal pagi Khamis, tidak menghalang pengundi awal untuk menunaikan kewajipan mereka pada pilihan raya kecil kawasan itu.

Tinjauan mStar Online di Bilik Rehat, Ibu Pejabat Daerah Rompin mendapati kira-kira 20 anggota polis sudah membuang undi setakat pukul 9 pagi.

Seorang daripada mereka, Inspektor Rosmalawati Madon, 33, dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin berkata, dia bertindak keluar awal untuk membuang undi kerana bersemangat untuk menunaikan kewajipan sebaga rakyat Malaysia.

"Walaupun hujan turun, saya tidak sabar untuk mengundi. Alhamdulillah, saya lega kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai penduduk di Rompin," katanya.

Tambahnya, calon yang menang nanti diharap dapat menyediakan lebih banyak program rekreasi kepada golongan wanita di daerah Rompin.

Seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Akmal Shah Kamal, 30, berkata, sebagai pengundi mereka mahu pembangunan di Rompin diberi lebih perhatian.

"Kalau kita tengok sekarang, Rompin masih ketinggalan dari segi pembangunan... masih nampak seperti kawasan pedalaman.

"Saya harap calon yang dipilih rakyat nanti mampu menaik taraf kemudahan infrastruktur dan pengangkutan di sini," katanya yang juga dari Unit Ronda Bermotosikal (URB).

IPD Rompin mempunyai seramai 177 daripada 545 pengundi awal yang keluar mengundi pada Khamis.

Proses pengundian awal itu turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding pada PRK berkenaan.

Selain itu, perjalanan proses tersebut akan turut dipantau pemerhati tempatan yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

PRK Rompin diadakan selepas penyandangnya Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Rompin, SPR, PRK

Artikel Lain